Nampaknya menjadi satu standard untuk majoriti hero, tidak kiralah dalam DC atau Marvel mempunyai masalah dengan bapa masing-masing. Seperti yang diperlihatkan dalam video acah Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings sebelum ini, kita tahu Wenwu adalah The Mandarin lakonan Tony Leung dan Simu Liu pula memainkan watak Shang-Chi.

Video acah baharu yang diterbitkan hari ini, memperlihatkan dengan lebih jelas pertelingkahan antara bapa dan anak ini. Bukan itu sahaja, buat pertama kalinya dalam MCU ada watak naga – mungkin ia adalah Fin Fang Foom seperti dalam komik.

Video ini turut memperlihatkan pelbagai kuasa magis dan aksi hebat. Jika itu tidak cukup, Ten Rings dalam MCU dilihat bukannya cincin di tangan manusia – tetapi adalah gegelang. Jika ia cincin, boleh jadi ia adalah cincin untuk Fin Fang Foom. Kuasa Ten Rings ini juga diperlihatkan dan ia dilihat bukan sahaja mempunyai kuasa magis misteri, tetapi juga mempunyai sejenis tenaga yang boleh dijadikan senjata. Lebih menarik, Shang-Chi dilihat berhak dan layak mengendalikan kuasa Ten Rings ini.

Jelas di sini, The Mandarin adalah jahat dan Shang-Chi tidak bersetuju dengan cara bapanya. Filem ini mungkin memfokuskan kepada siapakah yang lebih layak untuk memegang kuasa legenda. Untuk peminat, Abomination daripada filem Incredible Hulk dilihat turut melakukan penampilan (mungkin dia, sebagai permulaan ke siri She-Hulk) sedang bertempur dengan individu yang dilihat seakan Wong.

Filem ini akan ditayangkan pada 3 September tahun ini. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini