Skip to main content

Sejak Disney+ dilancarkan pada dua tahun lalu, ramai peminat filem-filem Marvel Cinematic Universe tidak sabar akan kehadiran perkhidmatan penstriman video ini. Ini kerana Disney akhirnya akan menerbitkan siri TV yang berkaitan secara terus dengan semua filem MCU mereka dan siri-siri TV ini akan dihasilkan oleh Marvel Studios.

Kini selepas Endgame dan Far From Home, kita masih tidak dapat saksikan lagi filem-filem baharu MCU. Tetapi semua peminat sudah boleh tonton WandaVision dan The Falcon and The Winter Soldier. Kini giliran Loki pula untuk disiarkan, yang mana penonton tahu apakah nasib beliau berlaku sejak filem Endgame – dalam adegan pertempuran New York. Siri TV ini akan fokus kepada apa yang berlaku.


Sinopsis

Loki adalah watak “jahat” dalam MCU, di mana beliau menggelar diri sebagai Dewa Pengkhianat atau God of Mischief. Siri TV ini berlaku di garis masa filem Avengers (2012) selepas pertempuran New York, di mana Loki mengambil Tesseract dan melarikan diri. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku, kerana bukan yang ditetapkan pada garis masa filem MCU. Disebabkan itu, Time Variance Authority (TVA) menangkap Loki.

Seorang ejen TVA, iaitu Agent Mobius menawarkan sesuatu yang baik kepada Loki dengan syarat beliau bantu TVA. Disebabkan satu peristiwa yang mengancam TVA, Mobius memerlukan perspektif Loki untuk menjayakan penyiasatan ini. Dalam siri TV Loki ini juga, Marvel menjanjikan perwatakan Loki baharu yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. Siri TV ini adalah siri TV yang serius, tetapi elemen komedi masih dimuatkan untuk menyesuaikan perwatakan Loki seperti ego beliau.

Pandangan Awal Untuk Dua Episod Pertama

Selepas menonton dua episod pertama siri TV Loki, apa yang boleh saya katakan – ia adalah antara siri TV Marvel Studios di Disney+ yang terbaik setakat ini. Loki juga merupakan antara watak antagonis dalam dunia MCU yang saya gemari, jadi untuk melihat beliau menjadi titik fokus untuk sepanjang enam episod – sudah semestinya siri TV ini secara automatik berada dalam senarai wajib saya tonton. Loki merupakan siri TV ketiga rasmi dalam MCU, yang mana biasanya orang kata third times the charm – saya boleh sahkan setakat dua episod ini benar ini antara yang terbaik.

Baiklah, untuk mengelak daripada sebarang beberan (spoiler) saya akan kongsi lebih kepada pengalaman menonton saya dan pendapat peribadi mengenai menarik atau tidak siri TV ini. Loki adalah seperti The Falcon and The Winter Soldier di mana hanya akan ada enam episod sahaja yang akan disiarkan. Bermakna, setiap episod adalah sekitar 50 minit untuk menepati strategi Marvel Studios satu siri hanya ada enam jam durasi. Untuk Loki, episod pertama adalah 51 minit dan episod kedua pula adalah 54 minit.

Dua episod pertama ini adalah sebahagian yang sudah didedahkan daripada video acah April lepas dan juga dalam video-video acah baharu mereka. Majoriti dalam video acah ini adalah untuk dua episod pertama ini. Perkara-perkara epik yang anda lihat ada dalam video tersebut masih belum didedahkan lagi. Kita juga tahu bagaimana Marvel dan video acah mereka, kebiasaannya banyak gimik sahaja. Kevin Feige pernah menyatakan yang bentuk penceritaan Loki adalah unik dan akan memberi impak besar kepada filem-filem baharu MCU. Setakat ini masih tiada lagi.

Selama 105 minit saya, iaitu 1 jam 45 minit saya habiskan untuk tonton dua episod Loki sehingga tamat kredit. Apa yang saya boleh katakan, 98% daripada masa tersebut adalah sangat berbaloi, memuaskan, dan menyeronokkan. Untuk adegan aksi, adegan suspen, misteri, sinematografi yang cantik, CGI gempak dan juga penulisan skrip – semuanya tidak banyak yang saya boleh adu. Malah banyak adegan membuatkan hati saya berdebar kerana tidak sabar untuk nantikan apa yang berlaku seterusnya.

Kemudian, siri TV ini juga mempunyai elemen komedi yang cukup melucukan. Ada yang saya ketawa terbahak-bahak, ada yang sekadar Loki menjadi Loki, jadi saya hanya mampu sedekahkan senyuman, ada juga yang mengejutkan buatkan saya berfikir tidak sangka Marvel lakukannya juga. Untuk dua episod ini, Loki lebih kepada siri penyiasatan untuk menjejak seorang penjenayah yang mengancam TVA. Keunikan Loki setakat ini adalah, menyiasat sambil merentas negeri.

Prestasi Lakonan

Bukan itu sahaja, bromance atau gandingan Owen Wilson dan Tom Hiddleston dalam siri TV ini cukup menghiburkan. Saya tidak sangka yang mereka dua cukup padan untuk menyampaikan satu siri MCU. Prestasi Tom Hiddleston setakat ini adalah seperti yang anda lihat dalam enam filem MCU lain yang pernah beliau muncul. Perbezaan yang dijanjikan oleh Kevin Feige janjikan masih belum jelas kelihatan lagi. Jadi akan ada banyak lagi perubahan watak Loki akam kita saksikan. Prestasi Owen Wilson pula cukup menarik untuk saya, walaupun saya tidak mengenali watak Mobius. Apa yang saya boleh katakan prestasi beliau memang cun dan sangat bersesuaian.

Pelakon lain seperti Gugu Mbatha-Raw (Black Mirror (episod San Junipero), The Cloverfield Paradox) memainkan watak hakim – Judge Renslayer/Ravonna. Prestasi watak ini masih belum menyerlah lagi, tetapi watak ini dilihat lebih kepada watak misteri yang Marvel cuba sembunyikan sesuatu. Pelakon seperti Wunmi Mosaku (Black Mirror (episod Playtest), Luther) pula memainkan watak Hunter B-15 – iaitu seakan askar mewakili TVA. Beliau pula dilihat cukup bersemangat dan mungkin akan menjadi antara pelakon pembantu yang banyak beri peranan (harapnya).

Disney ada menyenaraikan lagi pelakon seperti Sophia Di Martino, Richard E. Grant dan ramai lagi. Ada yang sudah muncul dan ada juga yang belum. Saya tidak akan dedahkan sepenuhnya kerana ingin anda alami secara keseluruhan dan tersendiri siri TV ini.

Kesimpulan

Siri TV ini diarahkan oleh Kate Herron dengan skrip oleh Michael Waldron. Bagi yang tidak tahu, selain Kevin Feige – Tpom Hiddleston sendiri juga merupakan penerbit eksekutif siri TV ini. Disebabkan saya berpuas hati dengan dua episod Loki, saya rasa anda juga mungkin akan gembira dengan apa yang Disney boleh tawarkan.

Jika anda minat WandaVision dan The Falcon and The Winter Soldier, anda mungkin akan meminati Loki. Ini kerana penceritaan Loki terasa seakan gabungan kepada dua siri TV ini. Ia juga adalah untuk memuaskan hati peminat-peminat Marvel, tidak kira komik atau MCU – kerana akan ada banyak klu, rujukan, imbau kembali dan banyak lagi yang berkaitan. Dengan sudah menonton dua episod, saya sudah tidak sabar untuk nantikan baki empat episod lagi. Menjadi lebih tidak sabar apabila saya teringat yang Kevin Feige ada katakan – Loki juga akan memberi impak kepada Dr. Strange in the Multiverse of Madness.

Jika anda ingin saksikan siri TV ini, ia akan disiarkan di Malaysia secara rasmi melalui Disney+ Hotstar pada 9 Jun 2021. Masa siaran adalah pada 3 petang. Sebagai peringatan, siri TV Loki disiarkan secara mingguan – iaitu satu episod satu minggu. Berikut adalah senarai tarikh;

  • Episod 1: 9 Jun
  • Episod 2: 16 Jun
  • Episod 3: 23 Jun
  • Episod 4: 30 Jun
  • Episod 5: 7 Julai
  • Episod 6: 14 Julai

Penafian: Akses awal kepada dua episod Loki diberikan oleh Disney+ bagi tujuan menjayakan artikel ini.

Leave a Reply