Bagi anda yang menjadikan Twitch sebagai tempat utama untuk menonton penstriman, anda juga berkemungkinan akan melanggan channel strimer-strimer kegemaran. Buat masa ini, harga langganan adalah sama seluruh dunia iaitu $4.99 (~RM20.90).

Hari ini, Twitch mengumumkan yang mereka akan memperkenalkan harga langganan tempatan, dengan kata lain harga langganan akan menjadi lebih berbeza (lebih murah) mengikut kos hidup untuk negara tersebut. Twitch telah mengumumkan senarai negara-negara yang akan terlibat dengan penawaran ini, dan Malaysia juga disenaraikan.

Buat masa ini mereka tidak mengumumkan harga baharu untuk Malaysia tetapi mengatakan penawaran ini akan bermula di Turki dengan harga TRY 9.90 (~RM4.90) dan Mexico dengan harga 48 Pesos (~RM4.14) bermula pada 20 Mei ini. Manakala untuk negara-negara lain ia akan diperkenalkan secara berperingkat sekitar suku ketiga tahun ini.

Berdasarkan penawaran di Turki dan Mexico, ada berkemungkinan yang harga langganan di Malaysia akan menjadi RM4.99 ataupun penjimatan sebanyak RM16 berbanding harga sekarang. Jika ia benar, ataupun asalkan harga lebih rendah berbanding sekarang, ia sudah semestinya membantu penstrimer tempatan untuk mendapat langganan daripada penonton tempatan.

Sohor Kini