Skip to main content

Resident Evil Village adalah permainan video pertama Resident Evil daripada Capcom untuk PlayStation 5. Nama lain bagi Resident Evil Village adalah Resident Evil VIII atau Resident Evil 8. Ia bersambung secara terus daripada Resident Evil 7 yang dilancarkan pada tahun 2017. Jadi, ia kembali menceritakan kisah Ethan dan Mia.

Ketika Resident Evil 7 dikeluarkan, saya masih tidak begitu serius dalam permainan video konsol – jadi saya tidak bermain dengan baik atau sehingga tamat. Tetapi syukur, Resident Evil Village ini mampu membuat saya faham apakah kisah di sebalik Ethan dan Mia. Dalam banyak-banyak permainan video, Resident Evil adalah francais kegemaran saya. Saya mula meminati permainan ini sejak Resident Evil 4.

Saya juga jenis yang suka mengembara dalam permainan video, jadi saya habiskan permainan ini dalam masa tiga hari – tepat sebelum hari terakhir Ramadan. Apa yang boleh saya katakan mengenai permainan video ini adalah “Wow, tapi.. hmmm…”

Ethan, Mia Dan Rose

Saya akan mulakan dengan penceritaan permaian video ini. Selepas peristiwa RE7, Chris Redfield telah menempatkan Ethan dan Mia ke lokasi Eropah untuk bersembunyi dan memulakan hidup baru. Mereka berdua mempunyai anak, iaitu Rose. Sepanjang perjalanan permainan video ini, ia mengisahkan Ehtan yang ingin menyelamatkan Rose kerana telah diculik oleh pasukan Hound Wolf Squad yang diketuai oleh Chris.

Pengembaraan bermula Ethan yang bangun di sebuah perkampungan dan menyedari kenderaan yang beliau naik sejak penculikan Rose telah terbabas dan ejen yang terlibat mati. Dalam pengembaraan beliau, beliau telah memasuki kampung yang dikelilingi oleh makhluk seakan serigala jadian yang digelar Lycans.

Sedang beliau terokai kampung misteri ini, beliau mempelajari yang kampung ini diketuai oleh Mother Miranda iaitu seakan ketua agama yang menghasut setiap penduduk kampung untuk mengikuti jejak langkah beliau dan berubah menjadi makhluk Lycans tadi. Mother Miranda mempunyai empat orang pengikut utama yang boleh dikatakan sebagai bos untuk setiap bahagian penting permainan video ini.

Mereka adalah Lady Dimitrescu dengan tiga orang anak perempuan seram, Donna Beneviento seorang yang boleh mengawal pelbagai anak patung dan makhluk seakan bayi, Salvatore Moreau seorang yang paling hodoh dengan tubuh bongkok dan makhluk seakan ikan serta Karl Heisenberg yang merupakan seorang yang ada kuasa magis dan boleh kawal besi untuk menjadi makhluk sibernetik.

Seperti pada judul permainan video, Village – Ethan fokus kepada pengembaraan dalam kampung misteri ini dan terokai setiap kawasan yang diketuai oleh konco-konco Mother Miranda.

Apa yang menarik dalam permainan video ini adalah, jalan cerita yang disampaikan secara terus, mengekalkan elemen seram yang dikenali dalam Resident Evil, serta memberi satu perasaan tidak sabar untuk ketahui apakah atau siapakah yang Ethan akan bertembung selepas setiap bos. Penceritaan permainan video ini juga memberikan satu pengalaman seakan menonton filem dengan plot twist yang pasti buatkan anda tidak kira anda main atau tidak Resident Evil 7 terkejut dan ternganga.

Bentuk Permainan Untuk Peminat RE4

Berbeza dengan RE7, bentuk permainan RE8 ini banyak pinjam daripada RE4. Secara tidak langsung, sebagai peminat RE4 ia membuatkan saya teruja dan gembira sepanjang bermain. Antaranya adalah teka-ria dalam kampung, konsep inventori dalam bagasi, ada Duke yang membolehkan saya jual beli pelbagai barangan, elemen, nyawa dan banyak lagi serta konsep musuh yang mengamalkan satu kultur aneh yang seram seriau serta mengejutkan.

Selain itu, RE8 adalah permainan video jenis pandang pertama dan bukan pandangan ketiga seperti RE4 – menjadikan pengalaman bermain jauh lebih menarik dan imersif. Ia juga menjadikan identiti Ethan lebih misteri dengan wajah beliau yang dirahsiakan sepanjang permainan video termasuk dalam adegan potongan (cutscene).

Saya bermain permainan video ini dalam tetapan Standard, iaitu pilihan kedua daripada empat pilihan seperti Casual (yang paling mudah), Hardcore (tahap kesukaran lalai) atau Village of Shadows yang perlu dibeli – ia adalah tahap kesukaran paling gila dan tidak masuk akal. Pada hemat saya, jika anda berani dan tidak gerun serta ada banyak masa dan peluru atau nyawa tanpa had dipersilakan cuba.

Tahap kesukaran Standard ini pun boleh dikatakan susah. Tetapi hanya pada membunuh musuh seperti Lycans, makhluk terbang dan lain-lain. Teka-ria dan misteri lain pada saya amat mudah berbanding RE4 yang lebih mencabar. Ia juga ringkas dan mudah faham. Apa yang saya tidak suka adalah mencari bahan mentah untuk Duke masak, agar nyawa Ethan lebih tahan lama dan sukar untuk mati. Banyak kerja, saya hanya dapat nyahkunci resipi asas untuk tambahan jika saya melindungi diri dengan menekan butang bahu L1.

Perlawanan setiap bos pula lain ceritanya. Untuk bertemu dengan Lady Dimitrescu, Ethan perlu bertempur dengan tiga orang anak perempuan yang boleh berubah menjadi serangga. Awal permainan ia mengejutkan, tetapi lama-kelamaan ia menjadi mudah untuk dijangka. Bertempur dengan Dimitrescu juga mudah saya hanya lakukan dua kali atau boleh sekali jika saya pandai berjimat. Donna Beneviento adalah yang paling mudah, tetapi merupakan antara yang paling seram sepanjang perjalanan RE8.

Salvatore Moreau juga mudah, tetapi sedikit leceh kerana perlu banyak ke sana dan ke sini untuk mencari jalan mengelak. Dengan pengalaman banyak bermain permainan Resident Evil, cara menewaskan musuh mudah untuk dijangka. Karl Heisenberg pula antara yang lama saya terokai kerana kilang beliau yang besar dan ada pelbagai aras perlu diterokai. Musuh beliau yang merupakan konco-konco penduduk kampung yang dijadikan bahan eksperimen menggerunkan dan kadangkala mengejutkan.

Tetapi untuk menewaskan Karl agak mudah walaupun senjata tidak banyak dan nyawa sedikit. Selepas selesai semua konco Mother Miranda saya tewaskan, permainan berubah kepada watak Chris Redfield untuk perjalanan yang singkat. Ia fokus kepada pasukan Hound Wolf Squad yang diketuai beliau mencari jalan bagaimana untuk hentikan Mother Miranda.

Seram OK, Cerita Syok, Tetapi Bukan Untuk PS5

Keseluruhan pengalaman permainan adalah baik sekali. Perkara pertama yang saya nilaikan adalah tahap seram yang ditawarkan. Berbanding Resident Evil 2 atau Resident Evil 3 yang lebih kepada terkejut, Resident Evil 8 atau Village ini memberikan perasaan takut yang benar-benar buat saya hampir terkucil. Mungkin saya ini sensitif, tetapi saya rasa tidak. Cuma cara setiap zombi atau makhluk itu muncul bukan sekadar terkejut tetapi gerun, mendebarkan dan buat saya rasa seakan menonton filem yang gila seram.

Penceritaan juga syok dan menyeronokkan. Untuk diri saya yang tidak lengkapkan lagi Resident Evil 7, saya rasa puas hati dengan penyampaian cerita dan pengembaraan yang perlu Ethan tempuhi.

Walaupun begitu, untuk mudah faham dan menjadikan pengalaman bermain lebih seronok – pastikan setiap adegan potongan tidak langkau dan tonton dengan penuh khusyuk. Jika tidak perjalanan permainan video sedikit sukar untuk difahami dan tidak akan memberikan satu perasaan memuaskan. Perlu ingat, harga permainan video ini adalah lebih RM200. Untuk rasakan ia berbaloi, alami semuanya.

Sungguhpun begitu, bermain pada PlayStation 5 tidak memberikan sebarang manfaat tambahan selain daripada resolusi dan sedikit butiran grafik. Contohnya tetapan grafik Ray Tracing apa yang saya sedari adalah sedikit pada bayang-bayang, pencahayaan dan butiran. Tiada pantulan yang baik, mungkin kerana Capcom ingin sembunyikan wajah Ethan menjadikan beliau tiada pantulan. Atau ada misteri lain yang anda sendiri patut alami.

Tetapi jika bermain pada PlayStation 4, saya rasa sudah memadai. Contoh RE2 dan RE3 saya mainkan di PS4 sahaja dan ia masih memberikan pengalaman yang baik, lagi memuaskan.

Untuk kawalan watak, pergerakan, menyelesaikan teka-ria, senjata dan lain-lain saya rasakan ianya baik sahaja dan mudah. Tetapi sebagai seorang yang pertama kali bermain PlayStation 5 dan benar-benar meminati Resident Evil, saya meletakkan harapan yang tinggi untuk permainan ini mempunyai pengalaman kawalan yang bagus. Sayang sekali, permainan ini tidak begitu memanfaatkan alat kawalan DualSense – lebih-lebih lagi pada maklum balas getaran dan haptik.

Selepas menguji kemampuan DualSense pada permainan Astro’s Playroom, saya harapkan dalam RE8 adalah penggunaan kawalan yang menarik serta imersif. Tetapi sayang sekali tidak dan hanya getaran biasa yang sedia ada pada DualShock di PS4.

Getaran lebih kuat dan adaptif itu ada. Ada bahagian yang membuatkan saya terkejut kerana ia bergetar secara tiba-tiba. Tetapi apabila memecahkan sesuatu, mengisi semula peluru atau berinteraksi dengan sesuatu – ia tidak menawarkan pengalaman seakan watak Astro tarik wayar, zip kostum dan lain-lain.

Konsep Yang Patut Diteruskan Dan Harapan Untuk Sekuel

Pada penghujung permainan video, Capcom telah memberi gambaran yang penceritaan berkait dengan Ethan sudah berakhir dan mungkin akan menerima watak utama baharu di masa hadapan. Tidak pasti apa yang akan mereka lakukan dan bilakah mereka akan mulakan pembangunan atau acah kehadiran sekuel seterusnya. Semasa RE7 dilancarkan, Capcom terus membangunkan RE8. Menjadikan permainan video ini dibangunkan selama tiga tahun lebih sebelum ia diumumkan pada Jun 2020.

Saya faham ia masih awal, belum sebulan lagi sejak dilancarkan pada 7 Mei lalu. Tetapi apabila sudah habis bermain, saya tidak sabar untuk lihat apa Capcom akan bawakan pula.

Apa yang saya inginkan adalah konsep seperti ini diteruskan untuk sekuel. Pertama pandang pertama, kemudian saya inginkan misteri dan teka-ria seakan RE4 yang lebih menarik dan mencabar. Bermakna jika saya temui satu bahagian yang perlu mencari objek, selesaikan, teka atau lain-lain saya inginkan ia mempunyai cabaran seakan baru-baru ini yang ada pada RE2. Cabaran RE8 berada di tengah-tengah antara RE2 dan RE3.

Capcom perlu memanfaatkan DualSense lebih mendalam dan lebih banyak untuk rasakan permainan ini lebih berbaloi untuk dimiliki. Saya juga berharap yang sambungan kepada permainan ini kelak akan membawa sesuatu yang lebih segar dan berlainan berbanding permainan-permainan Resident Evil sekarang.

Rumusan

Menutup ulasan Resident Evil Village saya adalah, memberitahu kepada anda yang permainan ini cukup seram dan menarik. Banyak misteri dan perkara aneh terungkai dan mungkin antara misteri yang gila hebat dan mengejutkan. Plot twist yang di bawakan berada di luar jangkaan dan saya harapkan permainan video seterusnya meneruskan konsep yang lebih kurang sama.

Akhir kata saya boleh katakan yang walaupun mempunyai masa yang baik bermain, tetapi RE8 kurang memuaskan, ia juga mungkin kerana saya memilih bermain pada tahap kesukaran Standard atau mungkin kerana harapan saya terlalu tinggi. Jika anda peminat RE4, anda wajib main. Tetapi jika anda sekadar peminat permainan video seram, zombi, gerun dan seangkatan dengannya – lebih baik nantikan harga diskaun atau pakej berkas yang lebih berbaloi.

Resident Evil Village
Harga Digital: RM247
Resident Evil Village atau RE8 adalah sekuel kepada Resident Evil 7: Biohazard yang dilancarkan pada 2017. Ia meneruskan kisah Ethan, cuma kali ini Ethan perlu menyelamatkan anak beliau yang telah diculik. Kemudian perlu berhadapan dengan ketua kampung Mother Miranda dan turut bertembung dengan Chris.
Positif
Penceritaan yang menarik
Elemen seram yang benar-benar mengejutkan
Cabaran yang berbeza
Memuaskan hati peminat Resident Evil 4
Penuh dengan misteri dan tidak perlu main RE7 untuk faham
Negatif
Tidak memanfaatkan alat kawalan DualSense pada PS5
Teka-ria yang tidak begitu mencabar
Pengalaman bermain yang tidak begitu mencabar
8.5

Leave a Reply