Pada awal tahun ini, Square-Enix telah mengumumkan bahawa kandungan tambahan kepada permainan MMORPG mereka, Final Fantasy XIV, yang dinamakan Endwalker akan tiba pada sekitar musim luruh tahun ini. Di acara tersebut, mereka telah memperlihatkan sedikit kandungan yang akan tiba, seperti kelas baru, kandungan penceritaan dan juga penambahan dari segi kualiti dalam permainan dari segi grafik dan juga pengalaman pengguna.

Hari ini, di acara Final Fantasy XIV Fan Fest, mereka telah memperlihatkan video treler penuh untuk kandungan tambahan Endwalker, disamping kelas melee terbaru yang dinamakan Reaper yang menggunakan sabit gergasi yang biasanya dikaitkan dengan kematian. Bangsa Viera lelaki juga diperkenalkan, walaupun sebelum ini ia dihadkan kepada jantina perempuan sahaja.

Melalui video treler ini juga, kita dapat melihat tiga lokasi baru yang akan diperkenalkan, termasuklah Radz-at-han, Old Sharlayan dan juga Garlemald, dimana terletaknya lokasi bangsa antagonis Garlean yang kini diambang kemusnahan kerana Zenos yae Galvus, iaitu watak jahat utama yang akan kita lawan sekali lagi di Endwalker.

Dalam pada itu, Naoki Yoshida, pengarah Final Fantasy XIV juga turut mengesahkan pra-tempahan untuk permainan ini telahpun dibuka melalui Square-Enix Store, dan kandungan pengembangan ini akan tiba secara rasmi pada 23 November, dan untuk mereka yang menempah permainan ini lebih awal, mereka boleh mula memainkan permainan ini beberapa hari lebih awal, bermula 19 November kelak.

Jika anda berminat untuk mencuba permainan ini secara percuma, permainan yang diakui secara kritis Final Fantasy XIV kini hadir dengan percubaan percuma yang boleh dimainkan secara percuma sehingga level 60, dimana ia juga mengandungi kandungan pengembangan Heavensward yang telah memenangi pelbagai anugerah.

Leave a Reply