Stranger Things musim ketiga telah tamat pada dua tahun lepas. Selepas ia tamat, musim keempat terus diumumkan dan dikatakan bukanlah penamat dan akan bersambung lagi. Kali terakhir kita mendengar perkembangan musim keempat adalah melalui video acah pertama pada Februari 2020, di mana lokasi Rusia diperlihatkan.

Baru-baru ini, video acah baharu telah diterbit. Ia memperlihatkan kisah silam Eleven.

Video acah ini membawa penonton ke masa silam Eleven (lakonan Millie Bobby Brown), di mana Dr. Martin Brenner menegur sapa kanak-kanak yang menjadi bahan eksperimen beliau di makmal yang sama dengan Eleven. Di akhir video, Eleven di masa kini terkejut dan sedar, mungkin ia adalah mimpi ngeri. Ini memberi petanda yang musim keempat, akan terus menerokai asal-usul Eleven.

Deskripsi video acah ini menyatakan 002/004, yang mana 001 adalah video acah video Februari tahun lepas yang memperlihatkan Chief Jim Hopper lakonan David Harbour berada di Rusia selepas letupan ke dunia lain yang berlaku di musim ketiga. Tarikh siaran masih belum diumumkan, mungkin ia hanya akan diumumkan pada video 004 kelak.

Jika anda tertanya kenapa lama sangat untuk setiap satu video acah ini diterbit? Ini kerana pandemik membuatkan proses penggambaran tunda dan Netflix hanya sempat melakukan penggambaran selama dua minggu sahaja sebelum ini. Mereka dikhabarkan telah memulakan penggambaran sejak September lalu.

Ada kata musim ini lebih ngeri dan seram. Jika anda ingin saksikan geng-geng Hawkins kembali beraksi, sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini