Dua tahun lepas, siri TV Green Lantern diumumkan sedang dalam pembangunan untuk disiarkan di HBO Max. Menjadikan siri TV DC asli pertama untuk platform penstriman ini. Tahun lepas, butiran lanjut mengenai siri TV ini mula tersebar – di mana ia dikatakan akan mempertontonkan banyak garis masa atau lebih fokus kepada masa silam untuk menuju ke masa sekarang. Menjadikan siri TV ini permulaan dunia siri TV DC baharu untuk HBO Max.
Green Lantern versi aksi nyata yang paling orang ramai ingat adalah versi Ryan Reynolds, iaitu filem tahun 2011 dengan kritikan yang dahsyat. Ryan Reynolds sendiri tidak boleh maafkan diri sendiri kerana terlibat dengan filem ini, sehinggakan filem Deadpool 2 – beliau rentas masa dan bunuh diri sendiri menerima skrip filem ini. Terkini, pelakon bagi salah seorang ahli Green Lantern Corps. untuk siri TV HBO Max telah diumumkan. Beliau adalah Finn Wittrock.
Bagi yang tidak mengenali Finn Wittrock, beliau adalah seorang pelakon yang cukup berbakat. Banyak filem dan siri TV telah beliau sertai dan turut dicalonkan untuk anugerah Emmy untuk American Horror Story: Freak Show. Bakat beliau lebih terserlah dalam siri TV tersebut. Untuk siri Green Lantern, beliau telah dipilih untuk memainkan watak Guy Gardner a.k.a Green Lantern pada zaman 1980-an.
Watak Guy Gardner dalam komik boleh dikatakan seakan John Walker dalam The Falcon and the Winter Soldier. Berlagak, ada nilai seorang hero tetapi berpegang dengan pendirian sendiri yang dibenci orang ramai dan hanya kembali digemari di penghujung episod. Begitu jugalah dalam siri TV ini.
Seperti dilaporkan sebelum ini, siri TV ini akan fokus kepada watak Alan Scott iaitu Green Lantern pertama wakil bumi pada tahun 1940-an. Dalam komik, sebelum Guy menjadi Green Lantern – Hal Jordan dipilih terlebih dahulu kerana lebih dekat dengan tempat terhempas Abin Sur. Siri TV ini akan fokus kepada Green Lantern Corps. danm sejarah mereka, daripada planet OA sehinggalah di bumi dan akan menyertakan lebih banyak watak Green Lantern yang terkenal dalam komik tetapi belum muncul dalam versi aksi nyata.
Siri TV ini akan dihasilkan oleh Berlanti Productions, iaitu syarikat yang berpengalaman dalam banyak siri TV DC seperti Arrowverse, Titans, Stargirl, Black Lightning dan banyak lagi. Memandangkan ini adalah siri TV DC pertama yang asli dan untuk HBO Max, tidak pasti lagi ia berlaku di dunia mana atau di dunia tersendiri.
Siri TV DC dan dunia filem DC sudah menjadi cacamarba seperti dunia platform penstriman DC Universe, DCEU, Snyderverse, Arrowverse, dan lain-lain lagi. Memandangkan siri TV ini akan bermula di 1940-an, ia boleh dikatakan mengambil jalan selamat. Kalau Disney ada Disney+ dan mempunyai siri TV MCU, DC ada HBO Max dengan siri TV tersendiri.
Selain Ryan Reynolds, Green Lantern versi aksi nyata turut kelihatan lebih jelas dalam Zack Snyder’s Justice League. Kemudian dalam episod akhir Arrow, John Diggle dilihat menemui cincin Green Lantern dan memberi petanda beliau adalah iterasi siri TV untuk watak Green Lantern John Stewart. Pada tahun 1997, Matthew Settle memainkan watak Guy Gardner untuk telefilem Justice League of America – yang mana juga adalah episod pertama untuk sebuah siri TV DC yang dibatalkan.
Harapnya dengan bajet besar siri TV HBO Max yang dikatakan siri TV akan mempunyai kualiti seakan filem, penceritaan, penulisan skrip dan konsep tidak sama seperti Arrowverse yang cringe, aneh dan karut. Sama-sama kita nantikan.