Microsoft dilihat semakin serius dalam memastikan nama mereka terus disebut-sebut dalam arena permainan komputer dan video, khususnya dengan konsol permainan terbaru mereka, dengan penawaran Xbox Game Pass yang sangat menarik setiap bulan.

Terkini, Microsoft telah mengumumkan bahawa mereka akan mengurangkan potongan keuntungan yang diambil oleh mereka melalui Microsoft Store, daripada 30 peratus ke 12 peratus sahaja. Ini dilihat sebagai langkah untuk bersaing dengan Steam dan Epic Games Store, dua daripada gudang permainan digital yang paling popular hari ini.

Menariknya, pengurangan pengambilan untung ini hanyalah untuk permainan-permainan pada platform komputer Windows 10 sahaja. Untuk gudang permainan konsol Xbox, Microsoft masih lagi akan mengambil potongan keuntungan 30 peratus, kerana sama seperti konsol-konsol yang lain, harga konsol yang dijual sudahpun disubsidi oleh pihak Microsoft untuk menjadikannya platform yang lebih mampu milik.

Pihak Microsoft turut mengatakan bahawa mereka akan memperbaiki lagi Microsoft Store dari segi rekaan antaramuka, dan kepantasan dalam memuat-turun fail dan memasang permainan tersebut.

Pada pendapat anda, adakah langkah ini mencukupi untuk membolehkan Microsoft bersaing dengan Steam yang boleh dianggap sebagai gudang permainan komputer yang terbesar sekarang?

Sohor Kini