Sebuah syarikat pembuat permainan daripada Jepun yang dinamakan U-Works baru-baru ini telah membuka sebuah laman web yang dilihat akan membuka tempahan untuk model Mobile Suit Gundam yang diperbuat daripada bongkah emas tulen 24 karat.

Melalui laman web tersebut, ia dapat dilihat bahawa syarikat ini akan menjual tiga model Mobile Suit yang berbeza, termasuklah dua model Mobile Suit Gundam RX78-2 yang dikendali Amuro Ray dan satu model Zaku-II yang dikendali Char Aznable.

Ketiga-tiga model ini dilaporkan diperbuat daripada bongkah emas, dimana satu daripada model Gundam RX78-2 dan Zaku-II hadir dalam skala 1/100, dan hadir dengan berat sekitar 1KG. Satu lagi model Gundam RX78-2 dalam keadaan duduk hanya seberat 140g sahaja.

Tidak seperti plamo Gundam yang diperbuat daripada plastik, model-model permainan ini tidak boleh diubahsuai gerak-gerinya dan hanya mempunyai satu pos sahaja.

Apa yang lebih mengejutkan ialah tanda harga untuk model-model permainan ini. Model Gundam RX78-2 yang berdiri dan Zaku-II hadir dengan tanda harga 26,400,00 yen, ataupun sekitar RM1 juta, menjadikan model-model ini sebagai model Mobile Suit termahal yang pernah kami lihat sebelum ini. Model Gundam RX78-2 yang berada dalam kedudukan duduk pula hadir dengan tanda harga 3.9 juta yen, ataupun sekitar RM150,000.

U-Works mengatakan bahawa mereka yang berminat untuk membeli model-model ini, yang terhad kepada 20 model boleh melakukannya bermula 27 April kelak melalui laman web mereka. Sayangnya, pembelian hanya boleh dilakukan oleh mereka yang menetap di Jepun.

Leave a Reply