Filem The Flash akhirnya akan dihasilkan selepas bertahun tunda dengan isu pengarah tarik diri, skrip diubah dan pelbagai isu lagi. Sejak acara DCFandome pada tahun lepas, butiran mengenai filem The Flash telah didedahkan secara rasmi. Pertama sekali, Batman akan menjadi mentor kepada Flash untuk pengembaraan rentas-masa/rentas-dunia yang akan beliau lalui. Tetapi, Batman bukan seorang – sebaliknya kedua-dua Ben Affleck dan Michael Keaton akan kembali memainkan watak ini bagi membantu Flash.

Andy Muschietti dan isteri beliau Barbara Muschietti akan menjadi pengarah dan penerbit eksekutif filem ini. Mereka turut mengesahkan yang filem ini akan mengambil inspirasi daripada peristiwa The Flashpoint Paradox, namun tidak didedahkan bahagian mana yang akan dijadikan sebagai aksi nyata. Ini juga adalah peluang Warner Bros. untuk mengolah semula DCEU. Konsep Multiverse, telah mula diperlihatkan dalam siri TV The Flash Arrowverse – yang mana The Flash versi Ezra Miller bertemu dengan The Flash versu Grant Gustin. Kini, Andy Muschietti telah berkongsi klip pendek pengenalan logo filem ini sempena hari pertama penggambaran. Muzik latar video ini juga mirip dengan siri TV The Flash.

Dalam filem Zack Snyder’s Justice League, The Flash turut memperlihatkan kuasa mengawal masa dan boleh berlari dengan pantas sehingga (mungkin) memasuki ruangan Speed Force. Kuasa baru ini dilaporkan akan menjadi titik permulaan pengembaraan The Flash dalam filem ini. Buat masa ini, butiran rasmi filem ini masih lagi rekaan konsep yang dikongsi tahun lalu – seperti kostum yang dihasilkan oleh Batman dan beberapa lagi seni konsep memperlihatkan Batman versi Michael Keaton.

Sebagai peminat siri TV The Flash dan watak The Flash ini, filem ini adalah antara filem DC yang saya nanti-nantikan. Tarikh tayangan masih tidak didedahkan lagi, tetapi ia akan tiba pada tahun 2022. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini