Skip to main content

Dua bulan lepas, terdapat ura-ura yang Michael Keaton akan kembali memegang watak Batman untuk filem DCEU. Nampaknya perkara ini adalah benar, kerana pihak Vanity Fair telah mengesahkannya melalui sesi temubual eksklusif bersama penerbit. Warner Bros. jelas sekali cuba membina rentas-dunia DCEU buat pertama kalinya dalam dunia filem. Sebelum ini semuanya adalah dalam siri TV Arrowverse sahaja.

Berita yang mengejutkan terkini adalah, Ben Affleck turut dilaporkan akan kembali sebagai Batman/Bruce Wayne dalam filem The Flash. Ini menjadikan akan dua Batman dari dua dunia dalam filem DCEU baru ini. Perkara ini disahkan dalam temubual yang sama dari Vanity Fair. Andy Muschietti selaku pengarah filem The Flash, turut menjelaskan yang Ben Affleck memang pelakon yang sesuai memainkan watak Batman – kerana wajah beliau dan karakter yang maskulin.

Perkara ini sebenarnya tidak begitu mengejutkan dan sudah dijangka, yang Warner Bros. dan DC akan memasukkan elemen rentas-dunia dalam filem DCEU. Ini kerana dalam siri TV The Flash, rentas-dunia antara filem dan siri TV sudah berlaku apabila The Flash Ezra Miller bertemu dengan The Flash Grant Gustin. Ia mengesahkan yang Arrowverse sedikit berkaitan dengan dunia DCEU melalui konsep multiverse. Batman Ben Affleck akan kekal sebagai Batman utama dalam filem The Flash, kerana penglibatan beliau dengan Ezra Miller dalam filem Justice League. Jadi sudah sah yang The Flash akan bertemu dengan Batman Michael Keaton kerana telah merentasi dunia alternatif DC.

Disebabkan filem The Flash ini adalah berasaskan filem animasi Flashpoint, di mana The Flash telah mengubah garis masa di mana Batman adalah Thomas Wayne – ia memberi petanda yang Michael Keaton akan membantu Flash dalam dunia lain dan Ben Affleck akan membantu Flash dalam dunia asal.

Ben Affleck sememangnya terbuka untuk memainkan watak Batman untuk filem-filem DC. Tetapi, disebabkan skrip filem The Batman arahan Matt Reeves tidak sesuai dengan beliau dan ada masalah peribadi terlibat – beliau tarik diri. Bagaimana Ben boleh kembali sebagai Batman dalam filem The Flash? Menurut laporan The Wrap, salah satu syarat Ben Affleck letakkan jika pihak produksi ingin melihat Ben Affleck kembali sebagai Batman adalah membenarkan beliau mengubah sedikit skrip filem tersebut.

Melalui pengesahan wujudnya rentas-dunia dalam DCEU, ia memberi harapan yang Warner Bros. dan DC mungkin akan menyertakan The Flash Grant Gustin. Bukan itu sahaja, ini turut membuka peluang untuk filem-filem akan datang akan ada rentas-dunia lain. Filem The Flash akan ditayangkan pada tahun 2022, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut mengenai filem ini di Aksiz.

Leave a Reply