Apple sedang berusaha mengembangkan kandungan dalam Apple TV+ untuk menjadikan platform penstriman ini lebih berbaloi untuk semua pengguna. Antara usaha yang Apple lakukan adalah bekerjasama dengan Skydance untuk siri dan filem animasi Apple Original. Luck dan Spellbound adalah antara dua filem animasi yang dibeli Apple daripada Paramount untuk siaran di Apple TV+. Animasi ini dihasilkan oleh Skydance Animation yang diketuai oleh John Lasseter.

Meneruskan kerjasama ini, Apple dan Skydance aka hadir dengan filem animasi pendek asli pertama – Blush. Animasi ini mengisahkan seorang angkasawan hortikultur yang melakukan pendaratan kecemasan di sebuah planet kerdil. Angkasawan ini bertemu dengan makhluk planet ini dan bersama-sama membina kehidupan dan menyedari keindahan planet ini.

Blush akan ditulis dan diarahkan oleh Joe Mateo, iaitu individu yang terlibat dengan filem animasi Big Hero 6. Bersama-sama dengan beliau adalah Heather Schmidt Feng Yanu yang pernah mengendalikan Toy Story dan francais animasi Cars. Sudah semestinya penerbit eksekutif adalah John Lasseter seorang yang berbakat yang menjayakan banyak filem animasi menarik.

Blush, Luck, Spellbound dan juga siri animasi The Search for Wondla adalah sebahagian daripada Apple Original Films yang akan disiarkan tidak lama lagi.

Sohor Kini