Nampaknya WarnerMedia telah membuat keputusan untuk kembalikan filem-filem baru mereka eksklusif di pawagam sahaja. Bermula tahun 2022, kesemua filem baru tidak lagi akan ditawarkan pada platform penstriman mereka HBO Max serentak dengan pawagam. Sebaliknya perlu tunggu tempoh tayangan tamat, barulah pengguna boleh strim. Ini mungkin akan ambil masa sekitar 2-3 bulan atau boleh juga lebih awal.

Tahun lepas pada Disember, WarnerMedia mengumumkan yang disebabkan pandemik dan banyak pawagam tutup – filem baru 2021 akan tiba ke HBO Max serentak dengan tayangan di pawagam yang terpilih. Bermula dengan Wonder Woman 1984, The Little Things, Judah and the Black Messiah, Tom & Jerry The Movie, Godzilla vs Kong dan yang terkini Mortal Kombat. Perkara ini juga membuatkan beberapa pihak produksi seperti Legendary ingin menyaman Warner Bros. Jadi dengan kembali ke pawagam sahaja, harapnya tiada lagi kes saman-menyaman.

Keputusan ini dilakukan kerana kejayaan filem Godzilla vs Kong yang kini menurut Box Office Mojo telah mengutip $285,800,000. Jadi filem The Batman versi Matt Reeves akan menjadi filem 2022 eksklusif di pawagam sahaja. Keputusan ini juga akan membantu masalah cetak rompak yang lebih pantas muncul di arena web.

Filem Tom & Jerry The Movie, Godzilla vs Kong dan yang terkini Mortal Kombat turut ditayangkan di Malaysia. Anda boleh lihat ulasan kami untuk Godzilla vs Kong dalam bentuk artikel dan video, manakala Mortal Kombat dalam video sahaja.

Sohor Kini