Seperti yang semua maklum, industri perfileman – lagi-lagi pawagam mengalami masalah yang serius akibat pandemik Covid-19. Antara masalahnya adalah, pawagam yang mengalami kerugian, pekerja hilang pekerjaan, tidak dibenarkan beroperasi atau ada juga yang terus tutup.
Filem-filem baru pula banyak yang ditunda atau terus disiarkan di platform penstriman, tidak kira berbayar atau percuma. WarnerMedia baru-baru ini membuat strategi drastik yang agak gila. Kesemua filem di bawah mereka pada tahun 2021 akan disiarkan di HBO Max tanpa sebarang caj tambahan serentak dengan tarikh tayangan di pawagam. Siaran adalah selama sebulan sebelum kembali eksklusif untuk pawagam. Antara filem pertama yang menerima nasib ini adalah Wonder Woman 1984, yang akan ditayangkan di HBO Max pada 25 Disember (tayangan Malaysia 17 Disember).
Dengan melakukan perkara seperti ini, pengguna akan gembira dan rasa berbaloi melanggan HBO Max. Tetapi penerbit, pelabur, atau mereka yang banyak mengeluarkan wang untuk menghasilkan filem mungkin tidak berpuas hati dengan keputusan ini. Legendary, selaku penerbit bersama dengan Warner Bros. untuk filem Dune dan Godzilla vs Kong adalah antara yang tidak berpuas hati dengan keputusan ini.
Menurut Variety, Legendary mungkin akan menyaman WarnerMedia pada minggu ini. Saman ke atas tuduhan apa masih tiada yang spesifik lagi. Tetapi, Legendary dikatakan marah dengan WarnerMedia kerana membuat keputusan besar seperti ini tanpa pengetahuan mereka. Legendary telah mengeluarkan sebanyak $175 juta untuk Godzilla vs Kong dan $160 juta untuk Dune.
Pada hemat kami, ini adalah satu perkara yang baik. HBO Max turut tidak lagi menawarkan akaun percubaan dan pengguna perlu terus langgan $14.99 (~RM61) sebulan. Dengan melakukan perkara ini, pengguna yang ingin tonton sesebuah filem baru awal akan terus melanggan dan akan berjimat. Bayangkan, Warner Bros. ada 17 filem yang dijadualkan untuk ditayangkan pada tahun 2021, seperti Matrix 4, The Suicide Squad, Dune, Godzilla vs Kong dan 13 lagi filem lain – RM61 sebulan untuk 17 filem baru dan pelbagai lagi kandungan lain adalah satu faedah baik.
Tetapi pada Legendary ini adalah perkara negatif. Mungkin dari segi pulangan yang diharapkan tidak akan sehebat kutipan pawagam, jadi mereka marah dan terus ingin saman. Apa-apa pun, butiran lanjut mengenainya dikatakan akan tiba sekitar minggu ini juga. Sama-sama kita nantikan.
Godzilla vs. Kong dijadualkan untuk ditayangkan pada 21 Mei, 2021 dan Dune pula pada 1 Oktober 2021.