Demon Slayer ataupun Kimetsu no Yaiba boleh dikatakan siri televisyen anime yang paling hangat diperkatakan, dimana filemnya telah mengutip RM3.2 juta di pawagam-pawagam Malaysia sahaja dalam 2 minggu pertama ditayangkan.
Terkiini, Lenovo Japan dilihat telah berkolaborasi dengan siri anime tersebut, dimana mereka memperlihatkan sebuah kerusi gaming dengan rekaan salah satu watak popular daripada siri anime tersebut, Tomioka Giyuu.
Rekaan kerusi gaming ini hadir dengan rekaan corak dan warna kimono watak tersebut, dan juga hadir dengan sebuah katana palsu di bahagian sisinya. Sayangnya katana ini tidak boleh dicabut dari bahagian kerusi.
Lenovo juga mengatakan bahawa kain yang melitupi bahagian tempat duduk kerusi gaming ini dilitupi oleh kain suede sintetik yang membolehkan pengguna duduk diatasnya dengan selesa.
Sayangnya, kerusi gaming bertemakan Tomioka Giyuu ini bukanlah untuk dijual, kerana ia adalah sebahagian daripada kempen pemberian Twitter Lenovo Japan dimana pengguna Twitter hanya perlu mengikuti akaun Twitter tersebut, dan menciap-semula ciapan berikut.
Pengguna hanya perlu mengikuti akaun tersebut dan menciap-semula ciapan ini, dimana Lenovo Japan akan seterusnya memilih lima pengikut bertuah dan memberinya kepada mereka secara percuma.
Sayangnya, kempen ini hanya untuk mereka yang menetap di Jepun untuk memudahkan proses penghantaran kerusi ini kepada pemenang. Mungkin di masa akan datang, Lenovo akan memasarkan kerusi ini secara global untuk para peminat anime ini.