Hai. Sekali lagi kita bertemu dalam rencana DokuRabu. Dari maklum balas yang diterima ramai yang merungut kandungan yang dipaparkan setakat ini terlalu panjang sehingga memerlukan banyak masa terluang untuk ditonton. Siri Empire dan travelog Joanna Lumley yang aku sarankan beberapa minggu lalu memerlukan sekurang-kurangnya 6 jam untuk ditonton. Oleh itu untuk minggu ini aku berubah arah dan menyarankan dokumentari yang bukan sahaja pendek tetapi boleh ditonton percuma menerusi YouTube.
Walaupun pendek, Becoming Immortal : How Susan Potter Will Live Forever ialah antara dokumentari yang paling sukar untuk aku tonton. Pertama sekali kerana ia menunjukkan kehidupan, kematian dan kehidupan abadi Susan Potter yang menyerahkan tubuh beliau kepada The Visible Human Project (TVHP). Di bawah projek ini, pangkalan data tubuh manusia yang lengkap dikumpul bagi tujuan memahaminya secara lebih mendalam. Ini dilakukan dengan menghiris tubuh manusia sebanyak ribuan kali sebelum gambar diambil yang kemudiannya disimpan secara digital. Selepas keseluruhan gambar hirisan tubuh diambil, teknologi grafik mengambil alih bagi membolehkan tenaga pengajar menunjukkan bahagian tubuh dalam sebuah komputer.
Apa yang dilakukan oleh TVHP ini bukanlah sesuatu yang baru. Sejak bidang perubatan dimulakan ribuan tahun yang lalu, pelbagai cara digunakan untuk menunjukkan anatomi manusia sebenar. Yang membezakannya adalah teknik hirisan yang digunakan membolehkan setiap milimeter tubuh dilihat secara potongan rentas menjadikannya yang paling lengkap pernah dihasilkan.

TVHP memgambil tubuh sukarelawan yang menghadiahkan tubuh mereka kepada sains selepas meninggal dunia. Yang membezakan Susan Potter ialah wanita yang uzur kerana pelbagai masalah kesihatan ini nekad menghadiahkan tubuh walaupun tidak memenuhi kriteria yang diperlukan. Beliau menghidap pelbagai jenis kanser dan telah menjalani pelbagai prosedur pembedahan. Selepas beberapa kali permohonan menjadi spesimen TVHP ditolak, beliau akhirnya diterima dengan syarat dibenarkan diri difilemkan ketika masih hidup dan ketika tubuh diproses. Pada awalnya Victor Spitzer yang merupakan pengarah TVHP menyangka projek rakaman video ini akan hanya mengambil masa beberapa tahun sahaja kerana Susan yang sudah agak uzur. Tetapi ia berpanjangan selama 12 tahun kerana umur beliau yang masih panjang. Akibatnya Susan subjek yang paling diketahui latar belakangnya dalam TVHP.
Sepanjang dokumenteri sepanjang sekitar 19 minit ini, penonton dibawa mengenai siapa Susan Potter yang sebenarnya. Mengapa TVHP penting untuk beliau dan paling penting sekali mendengar sendiri apakah pendapat beliau tentang menghadapi kematian. Penonton dapat melihat sendiri bagaimana rupa tubuh yang perlu dibekukan sebelum proses pemotongan dilakukan. Ianya amat grafik lengkap dengan babak tubuh di gergaji seperti kayu balak menjadi bongkah-bongkah kecil yang lebih mudah diangkat. Sepanjang masa ini dilakukan, audio Susan bercakap mengenai pendapat beliau mengenai isu kematian seperti kemana roh akan pergi dan adakah beliau selesa tubuh dihiris menjadi debu-debu berkumandang di latar belakang.

Juxtaposition visual yang mengerikan dengan suara Susan yang selesa menghadapi kematian membuatkan aku sendiri kurang selesa. Tetapi kesemuanya perlu untuk memberitahu penonton bahawa kematian itu adalah pasti dan normal. Tiada apa yang perlu ditakutkan. Ia juga mengesahkan kadang kala kerja yang “kotor” memotong tubuh seorang wanita tua sebanyak 27,0000 kali adalah perlu untuk mendapatkan ilmu yang dapat membantu bidang perubahan di masa hadapan.


