Sepanjang PKP ini menjadi bosan sehingga kepala terasa seperti hilang motivasi adalah normal. Hendak keluar takut perlu meredah jalan yang sesak kerana sekatan abang polis dan pakcik askar. Kalau tiada sekatan sekalipun, keinginan untuk keluar bercempera bagai beruk juga terbantut apabila melihat laporan kes yang tinggi di sekitar Kuala Lumpur sejak sebulan yang lalu.

Sebagai insan yang sebelum pandemik keluar dari negara sekurang-kurangnya 20 kali, Covid-19 membuatkan aku rasa kurang senang. Disember lalu genap setahun aku tersekat di Malaysia sehingga passport mula mengumpul debu.

Jadi apakah cara terbaik untuk menghilangkan ketagihan untuk melancong sekiranya dunia ini kembali tertutup seperti zaman keshogunan Tokogawa? Jawapannya mungkin ialah dengan menonton siri dokumentari Joanna Lumley yang kini di Netflix.

Selamat datang ke DokuPadu, kolum baharu di Aksiz yang akan mengulas pelbagai siri dokumentari yang boleh distrim pada waktu ini. Kolum ini dimulakan selepas aku sedari di Malaysia seperti tidak wujud ulasan untuk dokumentari kerana perhatian lebih diberikan kepada filem dan siri TV.

Aku mulakan dengan siri Joanna Lumley kerana ia mungkin paling mudah dihadam dan diakses oleh orang ramai. Satu kerana ia ada dokumentari dalam versi travelogue yang santai dengan pengacara yang menghiburkan dan di Netflix – perkhidmatan penstriman yang aku yakin telah dilanggan oleh ramai pembaca.

Terdapat tiga siri yang boleh ditonton iaitu Joanna Lumley’s Japan, Joanna Lumley’s Silk Road Adventure dan Joanna Lumley’s Tran Siberian Adventure. Setiap satunya mengandungi di antara 3-4 episod sepanjang 45 minit. Walaupun hanya tiga boleh distrim di Netflix, terdapat beberapa siri lain sebelum ini yang dibintangi beliau sejak 2010 dan diterbitkan oleh BBC.

Jadi mengapa aku menulis tentang siri ini? Jawapannya ialah ia adalah ubat bagi mereka yang rindu untuk mengembara. Yang menariknya ialah Joanna Lumley tidak membawa penonton hanya ke kawasan tarikan pelancongan yang biasa dilawati. Dalam siri Joanna Lumley’s Japan misalnya penonton di bawa dari puncak paling utara Jepun hingga puncak paling selatan negara matahari terbit. Sepanjang jalan penonton boleh melihat bagaimana landskap, musim dan penduduknya berubah.

Kombinasi sinematografi dokumentari BBC yang tiada tolok bandingnya – bayangkan dokumentari Sir David Attenborough tetapi untuk kawasan bandar dipadankan dengan comedic timing siri Top Gear. Bezanya hanyalah Joanna Lumley ialah hos yang memberikan pandangan beliau tentang kesemua lokasi yang dilawati dengan nada sarkastik dan kelakar.

Episod paling menarik mungkin ialah apabila beliau melawat seorang remaja yang menjalani latihan menjadi seorang Geisha di Kyoto. Adakah menarik melihat seorang gadis 18 tahun yang telah berlatih menjadi Geisha sejak berusia 14 tahun bercerita tentang gaya hidup beliau yang lebih mirip manusia awal kurun ke-20. Tiada telefon mudah alih, tiada akaun media sosial, tiada komputer, tiada TV, tiada interaksi dengan manusia biasa dan tanpa sebarang bayaran sepanjang tempoh latihan.

Kesemuanya dilakukan atas nama ingin mengekalkan tradisi Geisha yang semakin dilupakan. Apabila ditanya apakah yang ingin dilakukan selepas bersara kelak, si Geisha menjawab ingin pergi ke taman tema Harry Potter! Jawapan yang sungguh tidak disangka dari insan yang dipaksa hidup seakan manusia kurun lalu di dunia serba moden.

Terdapat banyak lagi interaksi seperti ini di kesemua siri-siri Joanna Lumley. Yang membuatkannya tambah menarik ialah Joanna Lumley ialah hos yang sedaya upaya cuba menghormati adat setempat tidak seperti Logan Paul. Saya sarankan dimulakan dengan Joanna Lumley’s Japan dahulu jika anda tidak pasti untuk memberikan komitmen sepenuhnya kemudian diikuti pula oleh Joanna Lumley’s Silk Road Adventure.

Bagi mereka yang masih skeptik dengan saranan hari ini, biarkan aku bagi last pitch sebelum mengundur diri. Bayangkan Bald and Bankrupt tetapi dengan budjet lebih tinggi, tempat lebih eksotik dan hos yang lebih kelakar. Kombinasi ini ialah gambaran paling tepat boleh saya berikan kepada siri-siri Joanna Lumley yang disarankan hari ini.

Jadi kesimpulannya jika anda mahukan sesuatu yang lain daripada yang lain untuk distrim pada penghujung minggu ini, pilih sahaja Joanna Lumley kerana ia memberikan pengalaman seperti anda sedang bercuti walaupun ketika PKPK.

Tonton koleksi travelog Joanna Lumley di Netflix

Sohor Kini