Selamat datang ke DokuRabu. Segmen yang hanya seminggu lalu aku namakan sebagai DokuPadu. Tetapi selepas seminggu kami menyedari kalau segmen diberikan nama DokuPadu, hanya dokumentari tahap mahakarya sahaja yang boleh aku tulis sekaligus mengecilkan skop apa yang boleh ditulis.

Umum diketahui proses mengulas dokumentari bukanlah mudah kerana kurangnya kandungan ini berbanding rancangan TV realiti, pertandingan penyanyi bertopeng laksana Super Sentai dan siri kelakar yang tak kelakar kerana aku terlalu Tempurung Telawi (terima kasih @BukuFixi) untuk menikmatinya.

Jika minggu lalu aku menulis mengenai Joanna Lumley yang santai, kali ini kita bergerak pula kepada dokumentari Empire yang subjeknya lebih serius dari Blogserius. Empire ialah siri dokumentar lima episod oleh BBC dari tahun 2012. Ia adalah adaptasi dari buku Empire: What Ruling the World Did to the British yang ditulis oleh Jeremy Paxman yang juga merupakan hos dokumentari ini.

Ya Jeremy Paxman yang terkenal dengan kemampuan beliau menyembelih ahli politik dalam sesi temubual Newsnight. Pada awalnya wujud sedikit skeptis dengan pemilihan beliau sebagai hos. Bolehkah seorang lelaki Inggeris berkulit putih subjektif dalam menyampaikan sejarah Empayar British? Jawapan ringkasnya ya. Jawapan panjangnya akan dijelas di bawah.

Episod pertama dimulakan dengan India, permata terbesar empayar Britain yang bermula dari kurun ke-16 sehingga berakhirnya Perang Dunia Kedua. Ramai mungkin tidak mengetahui pelbagai teknik penindasan, pembokrokan, penipuan, pencurian, pembunuhan da kekejaman demi pengekalan kuasa Britain boleh dilihat susur galurnya dari India. India ialah makmal ujian terbesar Britain untuk melakukan kejuruteraan sosial sejak 1757. Jika Teknik A boleh digunakan di India dengan sekitar 200 juta penduduk pada waktu tersebut, ia pasti boleh digunakan di negara lain yang akan tunduk kepada Britain.

Antara teknik yang digunakan ialah membentuk imej bahawa mereka adalah bangsa yang dipilih tuhan. Pertama sekali penduduk tempatan perlu dilayan seperti anak-anak kecil, tidak perlu dilayan seperti manusia dan tidak boleh diberi muka. Ironi di sini ialah sistem ini dipinjam dari budaya India sendiri untuk menindas orang India. Penjajah hanya perlu mewujudkan satu lagi kasta yang lebih tinggi berbanding kasta tertinggi yang diamalkan sejak ratusan tahun.

Kedua cari insan-insan berkepentingan dari kalangan anak watan yang boleh dijadikan sekutu untuk memberikan kredibiliti untuk kekal berkuasa. Akhir sekali gunakan kekerasan sekali-sekala apabila perlu mengajar anak watan yang berani menentang. Sistem yang diperhalusi di India kini kemudiannya dipotong tampal tanpa sebarang suntingan di Tanah Melayu dan Borneo.

Apa yang kami rasakan menarik ialah ketika warga Britain mula berdagang dengan India, mereka mengamalkan budaya India sebagai langkah asimilasi. Ada di kalangan mereka yang mengambil sehingga 15 wanita India sebagai gundik kerana ingin mengikuti tradisi yang diamalkan Maharaja. Hanya selepas kebangkitan Kristianisasi pada kurun ke-19, budaya tempatan kawasan yang dijajah mula ditentang kerana tidak selari dengan imej Britain sebagai peradaban paling unggul di muka bumi.

Terdapat banyak lagi anekdot menarik seperti ini di sepanjang siri. Setiap satunya membuatkan aku terfikir betapa teruknya jati diri bangsa kita dahulu sehingga boleh dijajah golongan yang ignoran, angkuh, pengotor dan tidak bertamadun. Pada waktu yang sama memulakan soalan yang sukar dijawab iaitu adakah kita kini lebih baik sekiranya British tidak datang menjajah? Ya mereka merompak sumber negara tetapi pada waktu yang sama memperkenalkan teknologi elektrik di Rawang, kereta api di Port Weld, menghapuskan sistem hamba sahaya dan memperkenalkan pusat peranginan di tanah-tanah tinggi tanah Melayu?

Di setiap episod Paxman akan mencari warga tempatan dan bertanyakan soalan di atas. Warga Serani India bangga kerana mereka mempunyai pertalian darah dengan penjajah. Warga Mesir pula masih pergi ke UK untuk melawat pusara Evelyn Baring – mantan Konsul Besar Mesir – untuk meludahnya. Palestin masih berdarah sehingga ke hari ini kesan Perisytiharan Balfour sementara di Hong Kong pula mereka dirindui kerana kebebasan yang semakin di sekat di bawah China.Empire tidak memberikan jawapan konklusif sama ada penjajahan British adalah baik ataupun buruk. Seperti perenggan di atas, ia berbeza mengikut lokasi ke lokasi. Mungkini ini disengajarkan oleh penerbit kerana mahukan anda membeli buku Empire: What Ruling the World Did to the British selepas usai menonton.

Yang boleh aku katakan ialah selepas lima episod pengetahuan asas peribadi mengenai Empayar Britain kini lebih jelas kerana selama ini yang diajar di sekolah hanya sekitar 10%. Silibus negara kita terlalu memaafkan penzalim-penzalim ini dan berjaya membersihkan imej mereka sehingga ke hari ini masih terdapat ribuan Melayu yang ingin melakukan umrah ke Kuala London. Jika anda jatuh ke dalam kategori ini, Empire ialah penawarnya.

Strim Empire menerusi Curiosity Stream hari ini

Sohor Kini