Kita sudah pun hampir tiba ke bulan Mac, masih tiada butiran rasmi yang jelas mengenai filem Spider-Man 3. Biasanya kita sudah dapat tonton video acah pada bulan Disember, kali ini berbeza. Mungkinkah benar Marvel dan Sony sedang berbincang dengan pelakon lama Spider-Man?
Terkini, dua pelakon Spider-Man 3 iaitu Tom Holland dan Jacob Batalon telah mendedahkan judul bagi filem ini. Filem pertama adalah Spider-Man: Homecoming, filem kedua adalah Spider-Man: Far From Home dan filem ketiga ada dua judul. Tom Holland dedahkan judulnya adalah Spider-Man: Phone Home, manakala Jacob Batalon pula mendedahkan judul yang berbeza iaitu – Spider-Man: Home Wrecker. Bukan itu sahaja, melalui Twitter Zendaya mendedahkan judul Spider-Man: Home Slice.
Persoalannya, adakah ini jenaka sahaja. Adakah mereka sengaja bergurau dengan peminat yang sudah tidak sabar menantikan video acah atau mengesahkan segala ura-ura yang telah didengari. Atau, ini adalah judul sebenar. Ia adalah judul untuk setiap versi Spider-Man dunia lain? Mungkinkah?
Bukan itu sahaja, Instagram kedua-dua pelakon Spider-Man/Peter Parker dan Ned Leeds dan Twitter pelakon MJ turut memperlihatkan imej pertama untuk filem Spider-Man 3 ini. Jacob memperlihatkan imej beliau, Tom dan baru turun tangga dari satu lokasi misteri dan kemudian Tom memperlihatkan imej mereka bertiga mendongak ke sesuatu cahaya. Adakah portal dunia lain? Imej yang Zendaya dedahkan imej mereka sedang membaca sesuatu pada komputer riba.
Tiga judul untuk tiga Spider-Man? Ini mungkin sub-judul untuk judul lebih besar? Apa-apa pun agak menarik akhirnya ada berita baru mengenai perkembangan filem ini. Sama-sama kita nantikan. Filem ini dijadualkan untuk ditayangkan pada 17 Disember 2021.