Bloomberg baru-baru ini melaporkan bahawa pada tahun lepas, kerajaan Arab Saudi telah melaburkan wang berjumlah $3.3 bilion (~RM13 bilion) pada beberapa syarikat pembangun permainan video AAA.
Syarikat-syarikat ini termasuklah Activition-Blizzard, Electronic Arts dan Take-Two. Pelaburan ini dilakukan oleh Public Investment Fund milik kerajaan negara tersebut, dan pelaburan-pelaburan ini termasuklah:
- 14.9 juta saham Activision-Blizzard bernilai $1.4 bilion
- 7.4 juta saham Electronic Arts bernilai $1.1 bilion
- 3.9 juta saham Take Two bernilai $826 juta
Ia dilaporkan bahawa pelaburan ini dilakukan oleh badan pelabur tersebut pada penghujung tahun 2020 sebagai salah satu cara untuk mempelbagaikan portfolio ekonomi negara tersebut, dan mengurangkan kebergantungan kepada industri minyak dan gas, yang dilihat semakin menurun.
Ini bukanlah kali pertama kerajaan Arab Saudi melaburkan wang kedalam studio permainan video. Sebelum ini, mereka telah bekerjasama dengan Riot Games untuk membangunkan industri e-sukan di negara tersebut sebelum ia terpaksa dibatalkan, dan badan amal belia MiSK milik Mohammad bin Salman telah membeli pegangan saham didalam syarikat SNK, pembangun disebalik permainan siri permainan video King of Fighters.