Selama 10 tahun dalam pembangunan, akhirnya ada berita baik mengenai filem Black Adam. Black Adam adalah watak protagonis atau penjahat dalam dunia Shazam!. Beliau mempunyai kuasa yang sama dengan Shazam!, tetapi disebabkan tamak dengan kuasa – beliau memilih jalan yang sesat dan gelap. Black Adam akan dilakonkan oleh Dwayne Johnson, atau lebih dikenali sebagai The Rock.
Filem ini turut akan memfokuskan kepada Justice Society bertempur dengan Black Adam. Antara ahli JSA yang akan muncul adalah Al Rothstein/Atom Smasher (lakonan Noah Centineo), Carter Hall/Hawkman (lakonan Aldis Hodge) dan Maxine Hunkell/Cyclone (lakonan Quintessa Swindell). Turut terlibat adalah Sarah Shahi yang masih tidak didedahkan watak apa yang akan beliau bawa. Terkini, Marwan Kenzari telah disenaraikan akan berlakon dalam filem ini. Marwan Kenzari sebelum ini memainkan watak Jafar dalam filem aksi nyata Aladdin dan Joe dalam filem The Old Guard.
Seperti Sarah, watak Marwan turut masih dirahsiakan lagi. Filem ini akan dihasilkan oleh Seven Bucks Productions, iaitu syarikat produksi milik The Rock sendiri. Filem ini hanya akan memulakan penggambaran sekitar suku akhir 2021. Memandangkan dunia DCEU adiwira utama adalah Justice League, filem ini dikatakan mungkin berlaku dalam dunia lain kerana adiwira utama adalah Justice Society of America. Warner Bros. sendiri ketika DCFandome telah mengesahkan yang konsep rentas-dunia dan banyak dunia wujud dalam dunia DC mereka.
Sama-sama kita nantikan.