Cyberpunk 2077 boleh dikatakan diantara permainan-permainan video yang paling dinantikan pada tahun 2020. CD Projekt Red, syarikat pembangun permainan disebalik permainan ini mempunyai rekod baik dengan permainan mereka sebelum ini, iaitu siri The Witcher.
Sayangnya, walaupun setelah ditunda beberapa kali dengan alasan untuk memperbaiki mutu permainan, apabila ia dilancarkan untuk PC dan konsol, Cyberpunk 2077 agak mengecewakan khususnya kerana pelbagai pepijat dan masalah yang hadir pada permainan tersebut.
Marcin Iwinski, salah satu daripada pengasas CD Projekt Red hari ini telah mengeluarkan sebuah video dimana beliau meminta maaf tentang isu-isu pada permainan tersebut, yang telah menyebabkan ramai orang meminta wang mereka kembali, sehinggakan Sony menurunkan permainan tersebut daripada PlayStationn Store mereka.
Iwinski menerangkan bahawa ia bukanlah salah pembangun-pembangun dibawah seliaan beliau, tetapi pihak pengurusan CD Projekt Red yang pada waktu itu merasakan bahawa permainan tersebut cukup sedia untuk dilancarkan kepada umum.
Isu terbesar buat CDPR sekarang hadir dari segi pembaikan Cyberpunk 2077 versi konsol. Menurut Iwinski, pelbagai faktor seperti penambahan ciri pada permainan versi PC menyebabkan ia lebih sukar untuk mengoptimasikan versi konsol tersebut.
Digandingkan lagi dengan wabak COVID-19 yang memaksa pembangun-pembangun ini untuk bekerja dari rumah, pelbagai masalah dan pepijat yang hadir pada versi konsol itu tidak sempat diperbaiki apabila tiba masa untuk permainan tersebut dilancarkan, walaupun dengan pembaikan pada hari pelancaran.
Didalam video ini, Iwinski mengatakan lagi bahawa CDPR akan terus mengeluarkan kemaskini-kemaskini baru yang akan memperbaiki mutu permainan tersebut di PC dan konsol bagi mereka yang masih memilikinya dalam masa satu ke dua minggu ini, dan sepanjang tahun ini.
Beliau juga berkata bahawa penaiktarafan Cyberpunk 2077 untuk konsol generasi terbaru akan tiba dalam separuh kedua tahun ini.
Jika anda berminat, kami ada menulis satu artikel mengenai dimanakah silapnya CD Projekt Red apabila mereka melancarkan permainan ini untuk tatapan anda.