Skip to main content

Tahun ini terdapat beberapa permainan yang sudah lama dinantikan yang akhirnya dikeluarkan contoh adalah Final Fantasy VII Remake, The Last of Us Part II, Ghost of Tsushima dan sudah semestinya Cyberpunk 2077. Saya secara peribadinya, Cyberpunk 2077 adalah yang paling ditunggu-tunggu.

Pertama kali diumumkan pada 7 tahun lepas lagi saya sudah tidak sabar untuk mencubanya. Terutama ia adalah satu permainan baharu oleh CD Projekt Red yang pada waktu itu baru sahaja mengeluarkan The Witcher 3: Wild Hunt yang bagi saya adalah antara permainan dunia terbuka terbaik yang pernah dikeluarkan.

Selepas beberapa kali tertunda, ia akhirnya dilancarkan pada 10 Disember lepas. Awalnya, ia mendapat reaksi yang positif terutama berdasarkan ulasan yang dikeluarkan oleh media yang mendapat peluang untuk mencubanya dengan lebih awal akan tetapi ia tidak mengambil masa yang lama untuk pemain menyedari yang Cyberpunk 2077 bukanlah satu permainan yang mempunyai kualiti yang memuaskan.

Masalah tersebut telah membawa kepada pelbagai masalah lain, contohnya isu pembayaran balik dan sebagainya. Melalui artikel ini saya ingin berkongsi pendapat mengenai di mana silapnya Cyberpunk 2077.

Sebelum saya teruskan dengan artikel ini, bagi saya secara peribadi, saya sudah menghabiskan lebih 40 jam bermain, selain pepijat-pepijat yang melucukan saya tidak mengalami masalah yang besar semasa bermain.

Daripada 40 jam tersebut, saya sangat menyukainya terutama perkembangan watak dan juga misi-misi sampingan yang disertakan. Ia mengingatkan saya kepada mengapa saya menyukai The Witcher 3. Saya akan cuba untuk melakukan sebanyak mungkin dan menghabiskan penceritaan utama, sebelum mengeluarkan ulasan penuh yang saya jangkakan pada minggu depan.

Sebelum itu, sebagai satu peringatan, artikel ini lebih bersifat spekulatif berbanding informatif kerana sukar untuk kita tahu apa yang berlaku semasa pembangunan permainan ini, dan juga keputusan yang dibuat oleh CD Projekt Red.

Ini adalah beberapa kesilapan yang saya rasakan dilakukan oleh CDPR untuk Cyberpunk 2077;

Mangsa Kepada Cita-Cita Sendiri

Peralihan daripada siri The Witcher kepada IP baharu bukanlah satu perkara yang mudah. Kebanyakan pembangun-pembangun permainan lebih selesa untuk meneruskan IP tersedia berbanding mengeluarkan IP baharu. Mungkin disebabkan untuk mengatasi The Witcher 3, CDPR telah cuba melakukan sebanyak mungkin untuk menjadikan Cyberpunk 2077 satu permainan yang lebih baik walaupun berdasarkan satu IP baharu.

Di dalam cubaan ini, mungkin terdapat pelbagai perkara yang dibangunkan tetapi kemudiannya dibatalkan kerana tidak berfungsi yang baik. Contohnya adalah, kebolehan untuk berlari di dinding, pada awalnya ia dikatakan sebagai salah satu perkara yang akan disertakan tetapi dibuang kerana tidak berfungsi dengan baik.

Kita hanya boleh meneka berapa banyak lagi perkara yang disertakan, kemudian dibuang, ia akan mengambil masa untuk dibangunkan, dan masa-masa tersebut juga mungkin terbuang kerana akhirnya tidak disertakan di dalam permainan penuh. Ia adalah perkara yang biasa di dalam pembangunan permainan video, tambah lagi permainan berskala ini.

Pengeluaran Pelbagai Platform

Ini juga berkait dengan cita-cita CDPR, mereka ingin mengeluarkan Cyberpunk 2077 di semua platform secara serentak. Dengan hadirnya PlayStation 5 serta Xbox Series, ditambah lagi perkhidmatan strim seperti Stadia. Mereka mengeluarkan permainan tersebut di 6 platform yang berlainan.

Seperti kita sedia maklum, “versi terbaik” adalah di PC, dan ia masih lagi mempunyai pelbagai masalah. Oleh itu, tidak mengejutkan jika masalah tersebut menjadi makin jelas apabila kita turun ke platform-platform lain. Akhirnya, versi PS4 dan Xbox One boleh dikatakan tidak langsung boleh dimainkan.

Antara pengeluar permainan dunia terbuka terkenal iaitu Rockstar Studios, sejak dari awal lagi, mereka sangat jarang mengeluarkan permainan secara serentak untuk konsol dan PC. Kebiasaan, terutama permainan baharu, versi PC dikeluarkan setahun ataupun lebih selepas konsol menerimanya.

Ia mungkin kerana ingin mengelak masalah cetak rompak, akan tetapi ia juga kerana membangunkan permainan untuk pelbagai platform akan membahagikan pasukan kepada terlalu banyak pasukan yang akhirnya menyukarkan lagi untuk membangunkan permainan dengan baik.

Namun, mungkin kerana desakan untuk mendapat jualan sebanyak yang mungkin mereka terpaksa/dipaksa untuk turut mengeluarkan di platform-platform lain walaupun tidak bersedia. Ini membawa kepada kesilapan seterusnya.

Tidak Jujur Dengan Prestasi Permainan

Kesilapan terbesar oleh CD Projekt Red, yang telah mencetus pelbagai masalah susulan adalah mereka tidak jujur dan menyembunyikan masalah permainan tersebut di konsol PlayStation 4 dan Xbox One.

Semasa kod ulasan diberikan, mereka hanya memberi kod PC, semasa mengeluarkan video bentuk permainan, mereka hanya memperlihatkan PS4 Pro dan Xbox One X ke atas sahaja. Pembeli hanya mengetahui mengenai masalah di PS4 dan Xbox One S adalah selepas tarikh pelancaran dan untuk sesetengah pemain ia sudah terlambat.

Pembeli mempunyai hak untuk terasa ditipu, dan tidak dapat membuat keputusan yang tepat sama ada untuk pra-tempah ataupun tidak. Sekarang apabila CDPR mengumumkan yang mereka bersedia membuat pembayaran balik, jelas ia akan mencetus lebih banyak masalah berbanding menyelesaikannya.

Ini adalah kerana, proses pembayaran balik melibatkan ramai pihak. Bagi pembelian secara fizikal ia melibatkan pengedar dan juga kedai yang menjualnya. Manakala versi digital pula, PlayStation dan Xbox mempunyai polisi pembayaran balik tersendiri dan tidak boleh dikawal oleh CDPR.

Mereka sepatutnya berlaku jujur sebelum dilancarkan lagi, dan memberitahu yang Cyberpunk 2077 versi PS4 dan Xbox One tidak bersedia untuk dilancarkan, dan pemain boleh meminta untuk membatalkan pra-tempat jika mereka tidak ingin menantikan kemaskini.

Namun, mereka memilih untuk meneruskan jualan dan meminta maaf kemudian, yang bagi saya mungkin tindakan yang lebih masuk akal bagi bahagian perniagaan tetapi sebagai satu studio pembangun yang dianggap sebagai “good guy” di dalam industri, ia sangat mengecewakan.


Cyberpunk 2077 yang bagi saya seharusnya menjadi satu permainan yang harus dipuji dengan pelbagai elemen menarik disertakan di dalamnya, dan juga menjadi masa depan untuk studio CDPR akhirnya menjadi satu permainan yang mendatangkan kemarahan kepada pemain dan mereka berhak untuk merasakannya.

Satu Pengakhiran untuk Cyberpunk 2077?

Satu perkara yang bagi saya ‘cahaya di hujung terowong’ adalah mereka telah berjanji untuk memperbaiki prestasi di semua platform dari semasa ke semasa, dan saya merasakan ia adalah satu janji yang akan dipenuhi, jika tidak dalam masa terdekat, mungkin selepas beberapa bulan lagi.

Ini adalah kerana, CD Projekt Red bukanlah studio pembangun yang mengeluarkan permainan setiap tahun. Mereka mengeluarkan The Witcher pada tahun 2007, 4 tahun kemudian untuk permainan susulan The Witcher 2 dan 4 tahun kemudian untuk The Witcher 3.

Mereka juga mengambil 5 tahun untuk mengeluarkan Cyberpunk 2077, oleh kerana itu saya boleh katakan yang mereka akan mempunyai beberapa tahun untuk sepenuhnya memfokuskan kepada permainan ini. Mereka tidak perlu membahagikan pasukan pembangun untuk membangunkan permainan lain, dan boleh fokus Cyberpunk 2077 sepenuhnya.

Ia juga diperlukan untuk memastikan Cyberpunk 2077 terus terjual dengan baik. Selepas The Witcher 3 dikeluarkan, ia telah menjadi sumber kewangan utama kepada CDPR, dan kini tanggungjawab tersebut telah beralih kepada Cyberpunk 2077. Jika mereka tidak melakukan sesuatu untuk memperbaikinya, mereka akan kehilangan sumber utama kewangan untuk beberapa tahun lagi.

Walaupun begitu, CDPR masih lagi perlu menyelesaikan tanggungjawab mereka untuk melakukan pembayaran balik kepada pemain yang ‘tertipu’, mereka mengatakan akan berkongsi lanjut mengenainya pada selepas 21 Disember ini, jadi sama-sama kita nantikan.

Adakah anda perlu minta pembayaran balik?

Seperti saya katakan sebelum ini, saya percaya yang ia akhirnya akan menjadi satu permainan yang seperti dijanjikan, namun saya juga merasakan tidak adil untuk pembeli yang tidak dapat bermain kerana masalah prestasi sedangkan boleh membelanjakan wang tersebut untuk membeli permainan yang boleh dimainkan sekarang.

Oleh itu, bergantung kepada pengumuman oleh CDPR sama ada proses pembayaran balik adalah mudah ataupun sukar, anda boleh sahaja meminta bayaran balik ataupun cuba menjualnya di pasaran terpakai mungkin ada pemain yang memiliki konsol generasi baharu ingin membelinya.

Ini sudah semestinya akan menjadi peringatan kepada saya dan juga pemain-pemain lain yang walaupun syarikat seperti CD Projekt Red mempunyai masalah mereka sendiri, terutama jika pemilihan perlu dilakukan di antara keuntungan dan ‘nama baik’, keuntungan biasanya akan lebih dipilih.

Leave a Reply