Wonder Woman adalah filem wirawati yang memfokuskan watak Diana Prince. Diana Prince adalah wanita dari Amazon, yang mempunyai kuasa hebat kerana beliau adalah separa manusia dan separa dewa. Filem pertama Wonder Woman tidak dinafikan menarik, tetapi filem kedua menerima kritikan yang agak teruk dan filem ini boleh dikatakan adalah hambar dan langsung tidak menarik – walaupun menerima kutipan yang baik sebelum ini.
Filem Wonder Woman pertama dan kedua diarahkan oleh Patty Jenkins dan melalui laman web The Playlist, Patty mendakwa yang Warner Bros. tidak bersetuju dengan idea beliau. Warner Bros. dikatakan sudah terbiasa dengan tema yang gelap sejak francais filem Batman arahan Christopher Nolan. Jadi mereka turut inginkan filem Wonder Woman ini ganas, banyak membunuh, pancung kepala dan sebagainya.
Pembangunan filem ini dikatakan menyebabkan perang dalaman di antara eksekutif dan Patty Jenkins sehinggakan Warner Bros. tidak ingin membaca skrip Wonder Woman. Tetapi ini semua berlaku di masa silam, iaitu sekitar tahun 2007 di mana adalah tahun Patty Jenkins menolak tawaran Warner Bros. menjadi pengarah. Tahun 2011 wakil Warner Bros. kembali, tetapi masih mempunyai gaya filem yang sama – iaitu ganas dan Patty menolak sekali lagi. Patty katakan beliau ada idea sendiri untuk sampaikan watak Wonder Woman ini.
Wonder Woman mempunyai sekitar 30 skrip yang tidak digunakan dengan pelbagai gaya penceritaan. Selepas bertahun lamanya, Warner Bros. mengalah dan bersetuju dengan Patty Jenkins untuk hadir dengan gaya penceritaan tersendiri.
Filem pertama Wonder Woman ditayangkan pada tahun 2017 dan filem kedua pula ditayangkan serentak dengan penstriman di HBO Max pada Disember tahun lepas. Wonder Woman diktakan akan diteruskan dengan filem ketiga dengan penglibatan Lynda Carter, iaitu pelakon asal Wonder Woman yang akan memainkan watak Asteria.