Skip to main content

Permainan bergenre koleksi raksasa seperti Pokemon, semestinya tidak asing di kalangan pemain di konsol di mana ia mula diperkenalkan lebih dari 20 tahun lepas dengan pelbagai permainan yang diperkembangkan sehingga kini.

Dengan membawa elemen dan konsep permainan yang hampir serupa, VEWO Interactive dan Ripple Asia Venture baru-baru ini melancarkan permainan Nexomon: Extinction, di mana ia adalah kesinambungan untuk permainna Nexomon yang dilancarkan beberapa tahun lepas di konsol.

Jadi Ini adalah ulasan mini kami untuk Nexomon: Extinction yang dimainkan di konsol PlayStation 4 Pro.

Klon Pokemon Yang Baik Dengan Pelbagai Jenis “Nexomon”

Jika anda yang mencari klon permainan Pokemon di konsol PlayStation, semestinya saya sendiri akan mengesyorkan permainan ini atas sebab ia adalah sangat murah dan pada masa yang sama mempunyai konsep dan bentuk permainan yang sama.

Dengan lebih dari 300 raksasa Nexomon, permainan ini sememangnya membawa pelbagai bentuk raksasa dengan pelbagai elemen raksasa seperti api, elektrik dengan rekaan menarik bersama-sama dengan pelbagai lokasi yang menarik untuk diterokai.

Seperti permainan Pokemon klasik sebelum ini, pemain juga akan bertembung raksasa Nexomon jika pemain berjalan di kawasan rumput tinggi dan ia juga mempunyai lokasi untuk menyembuh Nexomon, yang mana juga adalah seakan permainan keluaran Nintendo tersebut.

Dari segi bentuk pertempuran pula, ia juga menyertakan bentuk pertempuran secara turutan dengan empat kemahiran asas yang pemain boleh guna dan pada masa yang sama enam ekor Nexomon yang pemain boleh bawa. Selain itu, seperti Pokemon, pemain juga boleh menangkap Nexomon dengan menggunakan Nexotrap. Pemain juga boleh tingkatkan peluang untuk dapatkan Nexomon tersebut dengan memberi buah-buahan kepada mereka.

Penceritaan Yang Mendalam Dengan Bentuk Permainan Yang Mencabar Pemain

Dari segi aspek penceritaan, permainan ini mempunyai beberapa elemen plot yang agak mendalam jika ingin dibandingkan dengan Pokemon di mana ia lebih memfokuskan raksasa legenda dengan dunia yang penuh bahaya dan cabaran atas sebab raksasa Nexomon tersebut.

Selain itu, saya juga suka beberapa aspek dialog dan penulisan permainan yang sering membuat beberapa jenaka luar daripada kotak dunia permainan ini seperti beberapa rujukan daripada dunia nyata seperti permainan lain, filem dan juga permainan Pokemon sendiri.

Walaupun begitu, apa yang membuatkan permainan ini agak kurang seronok untuk dimainkan adalah bentuk permainannya yang agak mencabar, terutamanya pada permulaan permainan di mana anda sangat memerlukan Nexomon anda untuk sering bertempur untuk tingkatkan kuasa mereka.

Barangan seperti ubat sembuh juga adalah sangat mahal, sekaligus menyebabkan Nexomon anda sering ditumpas dan sukar untuk tingkatkan peringkat mereka, yang mana juga menyebabkan sesi permainan anda menjadi terlalu lama atas sebab anda perlu “Grinding” selalu.

Permainan Koleksi Raksasa Alternatif Untuk Peminat Pokemon, Tetapi Terlalu Banyak “Grinding”

Nexomon: Extinction sememangnya mempunyai citarasanya sendiri walaupun ia boleh dikatakan satu permainan klon daripada siri Pokemon. Namun atas sebab aspek “Grinding” yang terlalu lama dan terlalu banyak menghukum pemain, permainan ini juga membuat segala kemudahan di dalam siri permainan Pokemon, menjadi terlalu sukar untuk dimainkan.

Dicampurkan juga kesukaran untuk menangkap Nexomon dengan peratusan yang agak rendah walaupun menggunakan buah untuk tingkatkannya, ia menyebabkan saya sendiri tidak seronok bermain permainan ini dan putus asa separuh jalan atas sebab ia terlalu memakan masa untuk bermainnya.

Meskipun begitu, bagi anda yang sudah bosan dengan permainan Pokemon dan ingin mencari sesuatu yang berlainan, semestinya saya sendiri mengesyorkan anda untuk cuba permainan ini atas sebab ia masih lagi satu permainan pengumpulan raksasa yang baik dengan pelbagai jenis Nexomon dengan rekaan visual lukisan tangan yang sangat cantik.

Penafian: Kod ulasan Nexomon: Extinction disediakan oleh Ripple Asia Venture.

Nexomon: Extinction
Harga: RM79
Alternatif Permainan Pengumpulan Raksasa Seakan Pokemon Yang Bagus, Namun Terlalu Menghukum Pemain Dengan Bentuk 'Grinding' Yang Keterlaluan.
Positif
Pelbagai Pilihan Nexomon
Negatif
Memerlukan Terlalu Banyak Grinding
Terlalu Menghukum Pemain
Pilihan Nexomon Permulaan Yang Tidak Begitu Unik
6

Leave a Reply

Final Score