Kemaskini: Animasi Pendek tersebut kini boleh ditonton di bawah.

Artikel Asal: Ramai masih nantikan ketibaan siri TV Ejen Ali musim ketiga. Tetapi masih tiada khabar lagi. Selepas dua musim Ejen Ali, Wau Animation hadir dengan Ejen Ali: The Movie pula. Filem ini mencipta rekod baharu untuk animasi Malaysia, bersama-sama dengan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal dan BoBoiBoy Movie 2. Tahun ini adalah tahun animasi Malaysia.

Sedar dengan kejayaan ini, Wau Animation teruskan lagi usaha untuk memuaskan hati peminat. Terkini, mereka umumkan filem pendek pertama mereka – Ejen Ali Misi: Juang.

Sebelum ini, wakil Wau Animation mengacah akan ada projek khas antara Digital Durian dan juga Bront Palare. Masih tidak jelas, sama ada adakah ini hasil projek tersebut? Berdasarkan poster ini, ia dilihat Ejen Ali dan rakan-rakan akan menentang sejenis virus. Semua watak dilihat memakai sejenis pelitup muka berteknologi tinggi. Sebelah Ejen Ali adalah satu watak baru, wajahnya kelihatan seakan Bront Palare. Jika ini adalah projek mereka, apakah penglibatan Digital Durian?

Facebook Page Ejen Ali turut menerbit video acah pendek. Dalam klip 15 saat ini, jelas di sini Ejen Ali sedang menentang sejenis virus. Mereka kemudian berhadapan dengan sejenis halangan dan perlu bergegas ke pusat kuarantin (mungkin). Di tangan Ejen Ali kelihatan seakan serum atau vaksin bagi menyelamatkan seseorang di dalam pusat kuarantin itu.

Siaran filem pendek ini akan bermula esok, iaitu 25 Disember di saluran rasmi YouTube Ejen Ali. Masa siaran adalah 9:45 P.M. dan bagi yang berminat, sama-sama kita saksikan filem pendek ini esok malam.

Sohor Kini