Yasmin Ahmad adalah seorang pengarah dan pencipta filem yang hebat. Banyak filem beliau yang menyentuh hati, memberi pengajaran dan iklan-iklan ikonik Petronas yang membuatkan orang ramai sukar untuk lupa. Terkini, anda boleh menonton semula beberapa filem beliau yang terpilih di Netflix. 18 Disember ini, Netflix akan menyiarkan tiga filem Yasmin Ahmad – iaitu Rabun, Mukhsin dan Talentime.

Rabun adalah filem yang diambil inspirasi dari bapa beliau sendiri yang separa buta akibat kencing manis. Filem ini mengisahkan Pak Atan (lakonan M. Rajoli) dan Mak Inom (lakonan Kartina Aziz) yang pulang ke kampung selepas hidup susah di bandar. Tetapi, realitinya berbeza dengan apa yang mereka impikan – kehidupan di kampung turut mempunyai banyak dugaan.

Mukhsin pula adalah filem prekuel kepada Sepet dan Gubra dan adalah filem trilogi terakhir dalam francais Orked. Filem ini banyak bermain dengan masa silam dan cinta pandang pertama. Ia berlaku pada tahun 1993 di Sekinchan, Sabak Bernam – ia menceritakan kisah cinta Orked yang berusia 10 tahun (lakonan Sharifah Aryana). Kekasih Orked adalah Mukhsin (lakonan Mohd Syafie Naswip), tetapi kisah mereka sedih apabila Orked mendapati cinta mereka adalah lebih kepada kawan atau terma yang tepat adalah hubungan platonik.

Akhir sekali adalah Talentime, yang mana memfokuskan kepada kekeluargaan, cinta, kehidupan harian dan filem ini merupakan filem yang menyentuh kebudayaan, keagamaan dan perkauman. Filem ini mengisahkan pertandingan bakat di sekolah yang mempertemukan cinta di antara Melur (lakonan Pamela Chong) dan Mahesh (Mahesh Jugal Kishor). Ia adalah cerita cinta antara seorang kaum Cina dan seorang India yang pekak. Tetapi sayangnya, keluarga Mahesh melarang hubungan dengan kaum lain dan filem ini turut memperlihatkan bagaimana Hafiz (lakonan Mohd Syafie Naswip) menggunakan muzik untuk menenangkan hati kerana ibu beliau yang menghidapi tumor otak.

Bagi yang berminat dengan filem-filem ini, saksikannya di Netflix Malaysia pada hari Jumaat ini.

Sohor Kini