Lifetime adalah saluran televisyen di Amerika Syarikat yang banyak memfokuskan kandungan kewanitaan. Banyak kandungan mereka menyertakan wanita sebagai watak utama. Di Malaysia, saluran ini boleh ditonton melalui Astro saluran 709. Antara kandungan dalam saluran ini adalah siri TV dan filem-filem romantik, drama cinta dan banyak lagi yang seumpama dengannya.
Sempena Krismas ini, Lifetime dan Kenctucky Fried Chicken (Ya, KFC) telah bekerjasama untuk sebuah filem pendek berjudul – “A Recipe for Seduction“. Ia adalah filem romantik yang menjanjikan misteri, suspen dan juga penipuan. Filem ini dikatakan berdurasi selama 15 minit sahaja dan menyertakan Mario Lopez sebagai watak utama, iaitu Colonel Sanders. Mario Lopez sedia terkenal dengan siri TV “Saved by the Bell“, yang mana turut mempunyai olahan semula di Peacock.
Berdasarkan video acah, filem ini mengisahkan seorang gadis dengan nama Jessica yang bercinta dengan Colonel Sanders. Gadis ini kononnya jatuh cinta kerana Colonel Sanders mempunyai resipi rahsia yang akan mengubah dunia. Kemudian ada satu pasangan dilihat tidak berpuas hati dan akan berlakunya satu pembunuhan.
Filem pendek ini dilihat terhad di beberapa negara sahaja. Pnegguna di Malaysia mungkin tidak dapat menonton filem ini. Siaran akan bermula pada 14 Disember 1AM (masa tempatan).