Pengasas Avalanche Studios dan juga pencipta untuk siri Just Cause iaitu Christofer Sundberg minggu ini mengumumkan yang mana beliau kini menghasilkan studio pembangun permainan baharu iaitu Liquid Swords di mana ia bertempatkan di Stockholm Sweden.
Menurut kenyataan rasmi beliau di Facebook, studio tersebut akan memfokuskan permainan dunia terbuka beraksi dengan penuh letupan dan pengalaman yang menarik untuk pelbagai platform termasuklah di konsol, PC dan juga platform penstriman permainan.
Christofer menyatakan yang mana beliau telah mengambil setahun untuk berehat daripada bisnes permainan video dan kini beliau ingin kembali dengan studio baharu dan setelah 17 tahun bersama Avalanche Studios, beliau ingin memfokuskan pembangunan permainan.
Beliau juga menyatakan beliau akan menghasilkan permainan yang lebih kreatif dan menyeronokkan dan selepas kejayaan Just Cause, beliau ingin menghasilkan permainan yang lebih menarik untuk pemain.