Perkhidmatan penstriman permainan Google Stadia menghampiri ulang tahun pertamanya tidak lama lagi, dan walaupun ia masih lagi terhad kepada lokasi-lokasi terpilih, Google sedang berusaha keras untuk meningkatkan pilihan permainan pada platform tersebut.
MobileSyrup baru-baru ini telah menemu-ramah Jack Buser, Pengarah Pembangunan Perniagaan untuk Google Stadia, dimana beliau mengatakan bahawa untuk platform tersebut, 200 studio pembangun permainan sedang membangunkan 400 tajuk permainan untuk platform tersebut.
Apabila Stadia mula dilancarkan pada tahun lepas, salah satu kekurangan utamanya selain daripada lengah masa yang tinggi ialah jumlah permainan yang tidak begitu banyak.
Jack Buser mengatakan bahawa sepanjang tahun ini, Stadia telah menambahkan sekitar 100 permainan baru, termasuklah Doom Eternal dan Borderlands 3, bersama-sama dengan Cyberpunk 2077 yang akan tiba pada bulan hadapan.
Pada tahun hadapan, lebih banyak lagi permainan dijangka akan dilancarkan untuk Stadia, yang dijangka akan meningkat juga jumlah penggunaannya, khususnya jika pelan Google untuk menstrim permainan mereka melalui pelayar web di iOS akan menjadi kenyataan.