Ulasan Sackboy: A Big Adventure – Platformer Penuh Imaginasi

Selepas penantian hampir 6 tahun, Sackboy akhirnya kembali dengan permainan baharu, berbanding permainan LittleBigPlanet, Sackboy diberikan pengembaraan tersendiri. Walaupun saya secara peribadi tidak mempunyai pengalaman yang mendalam bermain LittleBigPlanet tetapi Sackboy: A Big Adventure tidak mengambil masa yang lama untuk membuatkan saya jatuh cinta dengan Sackboy dan juga dunia permainan ini.

Sumo Digital sekali lagi diberikan tanggungjawab untuk membangunkan permainan siri ini, oleh kerana ia bukanlah satu permainan LittleBigPlanet, Sackboy membawa bentuk permainan yang sedikit berlainan serta arahan seni yang berbeza tetapi pada asasnya ia masih lagi akan memberikan magis yang sama seperti permainan-permainan sebelum ini.

Sackboy Penyelamat Dunia

Pengembaraan Sackboy bermula apabila Vex iaitu seorang penjahat yang inginkan ‘Uproar’ iaitu kekacauan dan ketakutan menguasai dunia Craftworld iaitu dunia yang lahir daripada imaginasi. Bagi menjayakan perancangan tersebut, Vex telah menculik penduduk Loom iaitu tempat tinggal untuk Sackboy dan Sackfolk yang lain.

Vex berjaya mendapatkan kesemua Sackfolk kecuali Sackboy yang berjaya melarikan diri, dia juga berjaya mendapat pelan perancangan Vex. Dengan bantuan pelan tersebut, Sackboy perlu pergi ke lima planet berbeza untuk melawan Vex.

Ia mempunyai penceritaan yang ringkas, namun disertakan dengan pelbagai watak-watak menarik. Selain Sackboy dan Vex, pelbagai watak akan diperkenalkan sebagai kawan dan juga lawan untuk Sackboy. Selain mempunyai rekaan tersendiri, setiap watak juga mempunyai lakonan suara yang baik, menguatkan lagi penyampaian walaupun ia adalah satu penceritaan yang ringan.

Platformer Ringkas Penuh Imaginasi

Di setiap planet, ia akan mempunyai hampir 10 peringkat yang perlu dilalui oleh Sackboy, dan setiap peringkat akan mempunyai sistem platformer yang pada rekaannya adalah ringkas dan tidak akan memerlukan skill pemain yang tinggi untuk menyelesaikannya, namun rekaan setiap peringkat sangat menarik.

Selain itu terdapat juga pelbagai penjahat yang tidaklah mencabar pemain, tetapi akan menjadikan platformer lebih rumit. Setiap daripadanya juga mempunyai serangan tersendiri dan cara berbeza untuk ditumpaskan, menjadikan sesi platformer yang ringkas sebelum ini lebih menarik.

Sackboy juga boleh menggunakan pelbagai peralatan seperti bumerang, jet pack yang boleh menembak, dan grappling hook untuk digunakan bagi melepasi sesuatu kawasan, setiap daripadanya juga boleh dijadikan senjata. Setiap peringkat juga mempunyai pelbagai barangan persekitaran yang boleh membantu Sackboy ataupun menyukarkan lagi pergerakan.

Jika anda mengharapkan platformer yang sukar dan mencabar, Sackboy: A Big Adventure mungkinlah bukan permainan untuk anda, tetapi jika anda inginkan platformer yang lebih kreatif serta sesi permainan yang lebih kasual, permainan ini melakukannya dengan baik sekali.

Saya sangat mengagumi setiap rekaan peringkat, walaupun ada beberapa peringkat terasa terlalu ringkas dan sekadar mengulangi peringkat sebelum ini akan tetapi kebanyakan lain mempunyai rekaan yang lebih teliti, yang saya boleh katakan dihasilkan dengan penuh imaginasi dan menyertakan pelbagai kejutan untuk pemain.

Satu perkara yang sedikit mengecewakan adalah, ada beberapa peringkat yang menjadikan muzik sebagai tema. Peringkat tersebut akan berlaku bagaikan satu permainan irama. Bagi saya, peringkat-peringkat ini adalah peringkat terbaik yang disertakan oleh itu ia mengecewakan kerana jumlah yang sangat terhad. Saya berharap mereka akan menyertakan lebih banyak peringkat sebegini sebagai DLC di masa hadapan.

Di setiap dunia terdapat juga beberapa perlawanan bos, yang lebih memerlukan pertempuran berbanding platformer, ia menarik tetapi terasa sedikit berulang kerana beberapa perlawanan adalah sama tetapi hanya menyertakan kelainan yang sedikit sahaja untuk menjadikan ia lebih mencabar.

Di setiap peringkat juga terdapat pelbagai collectible yang perlu dikumpul antaranya adalah Score Bubbles, Dreamer Orbs dan juga barangan kosmetik. Bagi menyelesaikan mana-mana peringkat, pemain tidak perlu mendapatkan mana-mana collectible.

Namun, setiap peringkat akan mempunyai jumlah Score Bubble tertentu jika pemain ingin mendapatkan ganjaran seperti barangan kosmetik dan juga membuka peringkat rahsia. Manakala Dreamer Orbs diperlukan untuk membuka laluan ke peringkat akhir bagi setiap planet, jadi pemain perlu mengumpulnya untuk sejumlah tertentu tetapi tidak kesemuanya.

Ini tidak bermakna yang permainan ini tidak mencabar, akan tetapi cabaran hadir dalam bentuk berlainan dan tidak semestinya perlu dilakukan untuk menyelesaikan penceritaan.

Cabaran Adalah Pilihan

Saya berjaya menghabiskan penceritaan dengan tidak sangat memfokuskan kepada pengumpulan, saya boleh katakan hanya mengumpul lebih kurang 30% sahaja daripada kesemua collectible yang boleh diperoleh. Oleh itu, jika anda ingin sekadar menghabiskan penceritaan, ia adalah mudah. Anda boleh memilih untuk menjadikan ia lebih sukar dengan cuba mengumpul kesemua Collectible.

Jika anda ingin mengumpul kesemua Collectible, terutama Dreamer Orbs ia akan memerlukan ketelitian yang lebih kerana ia sangat mudah untuk terlepas pandang. Kebanyakan Dreamer Orbs apabila sudah terlepas dan memasuki kawasan baharu, anda tidak lagi boleh berpatah balik. Jika ingin mendapatkannya, satu-satunya cara adalah dengan memulakan semula peringkat tersebut. Dreamer Orbs juga kadang-kadang berada di tempat yang sukar untuk dicapai dan mempunyai platformer yang lebih mencabar.

Selain itu, Dreamer Orbs juga boleh dikumpul dengan melakukan cabaran iaitu Knitted Knight Trials. Ia adalah cabaran berdasarkan masa, di mana pemain perlu melalui sesuatu peringkat dan perlu mencatat masa tertentu untuk mendapat piala gangsa, perak dan emas, di mana setiap satu akan memberikan satu Dreamer Orbs. Bagi anda yang ingin menguji kemahiran platformer, cabaran ini adalah sesuatu yang anda harus lakukan. Bagi saya yang merasakan Celeste adalah permainan paling sukar di dunia, ia sangat mencabar, terutama untuk mendapatkan piala emas di setiap cabaran.

Selepas penceritaan berakhir, ia juga akan menyertakan satu dunia tambahan yang akan memerlukan jumlah Dreamer Orbs yang banyak. Ia akan memberi sebab tambahan bagi anda yang ingin mengumpul kesemua Dreamer Orbs.

Prestasi Baik, Tetapi Pelbagai Pepijat

Sackboy: A Big Adventure adalah antara permainan pelancaran untuk PlayStation 5, namun bagi ulasan ini saya bermain versi PlayStation 4 Pro. Ia mempunyai kualiti grafik yang baik, seperti yang saya nyatakan di atas rekaan dunia yang menarik. Ia juga sangat lancar dengan PS4 juga boleh dimainkan dengan kadar kelancaran 60FPS dan saya boleh katakan ia adalah stabil.

Permainan kali ini juga menggunakan grafik 3D berbanding 2.5D sebelum ini, ia memberikan pengalaman berlainan, tetapi oleh kerana saya tidak berpengalaman bermain permainan LittleBigPlanet saya tidak boleh katakan jika ia lebih baik ataupun tidak.

Walaupun begitu ia masih mempunyai beberapa masalah yang sedikit mengganggu pengalaman bermain. Masalah utama adalah tekstur yang lambat untuk dimuat, terutama untuk Sackboy ketika adegan, Jika anda menggunakan kostum yang mempunyai rekaan yang tertentu, ia juga akan memberikan masalah ketika adegan.

Selain itu, saya juga mempunyai masalah untuk mengakses satu peringkat rahsia, walaupun saya dapat bergerak tetapi di paparan ia hanya skrin putih, saya masih lagi tidak dapat mengakses peringkat tersebut dengan sepatutnya. Terdapat juga kejadian di mana saya sudah menyelesaikan satu peringkat, tetapi ia tidak membuka peringkat seterusnya. Selepas melakukan buka dan tutup permainan berkali-kali barulah ia dapat diselesaikan.

Buat masa ini, Sackboy: A Big Adventure juga tidak menyokong sesi multi-pemain secara dalam talian, dengan keadaan sekarang agak sukar untuk saya mengajak rakan untuk bermain multi-pemain setempat, oleh kerana itu saya tidak dapat mencuba beberapa peringkat yang dihasilkan khusus sesi multi-pemain. Saya juga merasakan yang bermain bersama rakan sehingga 4 pemain, akan memberikan pengalaman serta sesi permainan yang lebih menarik. Saya sudah semestinya akan bermain semula apabila kemaskini multi-pemain yang dijangka akan tiba pada akhir tahun ini tiba.

Pengalaman Yang Memuaskan, Tetapi Mungkin Sedikit Mahal

Saya mengambil masa hampir 12 jam untuk menghabiskan penceritaan, dan ini adalah kerana saya tidak cuba untuk mengumpul kesemua collectible. Saya boleh katakan yang jika pemain ingin mengumpul semua, dan menghabiskan dunia tambahan, ia akan mengambil sekurang-kurangnya 20 jam untuk dihabiskan. Ia juga bergantung kepada kemahiran anda untuk permainan platformer.

Dengan harga RM249 untuk edisi biasa, bagi saya ia adalah harga yang berbaloi dengan kandungan yang disertakan terutama anda juga akan mendapat versi PlayStation 5 secara percuma. Namun, jika anda tidak merancang untuk melakukan kesemua cabaran serta mengumpul kesemua collectible, harga tersebut mungkin sedikit mahal.

Dua perkara yang saya rasakan boleh menjadikan ia lebih berbaloi jika Sumo Digital memberikan DLC untuk menyertakan peringkat tambahan, terutama peringkat muzik, lebih baik jika percuma tetapi juga cukup baik dengan harga yang berpatutan. Satu lagi adalah jika mereka menyertakan fungsi seperti permainan A Way Out, di mana anda boleh bermain bersama rakan melalui sesi multi-pemain secara dalam talian, tanpa memerlukan rakan untuk turut memiliki permainan ini.

Sackboy: A Big Adventure
Harga: RM249
Sackboy kembali, tetapi kali ini beliau hadir dengan pengembaraan tersendiri di dalam usahnya untuk melawan kuasa jahat Vex
Cerita
7
Bentuk
9
Grafik
9
Kandungan
7
Positif
Rekaan Dunia Dan Peringkat Yang Menarik
Mempunyai Sesi Permainan Kasual Ataupun Sukar Bergantung Kepada Pilihan Pemain
Negatif
Pelbagai Pepijat Yang Menganggu Sesi Permainan
Tiada Sesi Multi-Pemain Semasa Pelancaran
8

Sohor Kini