Borderlands 3 bakal memperlihatkan penambahan DLC terbaru mereka pada minggu hadapan. Walaupun begitu, hari ini mereka telah mengeluarkan sebuah video acah yang memperlihatkan sedikit maklumat mengenai kandungan tersebut.
Melalui video acah tersebut, nampaknya watak Krieg akan kembali pada DLC akan datang ini. Bagi mereka yang tidak biasa dengan jalan cerita Borderlands, Krieg ialah watak yang boleh dimainkan pada permainan Borderlands 2.
Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi jika Krieg akan menjadi watak yang boleh dimainkan di Borderlands 3, tetapi apa yang pastinya, pemain akan perlu pergi menyelamatkan watak tersebut pada DLC keempat Borderlands 3 ini.
DLC keempat ini tiba selepas tiga penambahan sebelum ini, iaitu Moxxi’s Heist on the Handsome Jackpot, Guns, Love, and Tentacles dan Bounty of Blood. Butiran lanjut mengenai DLC terbaru ini akan diketahui pada minggu hadapan.
Jika anda membeli season pass Borderlands 3 sebelum ini, penambahan ini akan menjadi percuma untuk anda, tetapi jika anda ingin membelinya secara asing, ia akan tiba melalui Epic Games Store ataupun Steam pada harga sekitar $14.99 (~RM64).