Ulasan Mini – Fall Guys: Ultimate Knockout

Fall Guys: Ultimate Knockout dikeluarkan pada 4 Ogos lepas untuk PlayStation 4 dan juga PC melalui Steam. Ditawarkan secara percuma untuk pelanggan PS Plus, dan laris terjual di Steam, ia menjadi permainan yang dipercakapkan serta dimainkan oleh ramai pemain.

Kejayaan tersebut bukan perkara yang positif sahaja, ia juga menyebabkan masalah pelayan di mana pada awal pelancaran kerap kali pelayan tidak berfungsi ataupun pemain tidak dapat memasuki sesi permainan. Oleh kerana itu, kami mengambil sedikit masa sebelum mengeluarkan ulasan.

Namun, 17 jam bermain di PC dan lebih kurang 5 jam bermain di PS4, berikut adalah ulasan untuk Fall Guys: Ultimate Knockout.

Permainan Segar Di Dalam Lambakan Pertempuran Royale

Secara jujur-nya, saya tidak menyukai permainan yang memfokuskan “kompetitif”, ia adalah kerana untuk menghayati permainan-permainan tersebut, anda perlu sekurang-kurangnya mempunyai tahap kemahiran yang sederhana. Ia akan memerlukan latihan ataupun bermain bersama dengan rakan yang dapat carry.

Ini ditambah lagi permainan pertempuran royale. Sebagai pemain yang lebih menggemari permainan solo, meluangkan masa untuk latihan bukan sesuatu yang menyeronokkan. Tidak kira untuk PUBG, Fortnite, Apex Legends, COD: Warzone dan juga Hyper Scape.

Kemudian, hadirnya Fall Guys: Ultimate Knockout. Walaupun ia juga merupakan permainan kompetitif, akan tetapi ia tidak membawa keberatan yang sama dengan permainan-permainan pertempuran royale. Ia memberikan perasaan bagaikan anda bermain bersama dengan rakan-rakan dan tidak sangat ingin berlumba untuk menang, walaupun anda masih lagi akan mencuba yang terbaik.

Ia adalah satu perasaan yang segar, tidak kira anda kalah di pusingan pertama, ataupun kalah di pusingan akhir, setiap sesi adalah menyeronokkan dan anda akan terus bermain, tanpa sedari anda sudah meluangkan berjam-jam bermain.

Setiap sesi permainan, anda bersama dengan 59 pemain lain akan melalui 4 hingga 5 peringkat, dan setiap peringkat sejumlah pemain akan disingkirkan. Pemain terakhir yang bertahan akan memenangi sesi permainan tersebut akan mendapat Crown. Crown ini boleh ditukar untuk mendapat barangan kosmetik.

Selain itu, setiap kali bermain pemain juga akan mendapat Kudos iaitu mata wang digital untuk menukar barangan kosmetik seperti Crown, dan Star untuk memajukan tahap anda bagi setiap musim. Ia adalah sistem sistem seperti mana permainan pertempuran royale yang lain. Buat masa ini, mereka tidak menjual sebarang ‘Battle Pass’, mungkin kerana ia adalah permainan berbayar. Mungkin berubah pada masa hadapan.

Kawalan untuk permainan ini juga membantu untuk memberi perasaan yang lebih kasual, iaitu anda boleh melompat, terjun dan memegang. Ia mudah untuk difahami dari awal lagi, tetapi masih mendalam untuk digunakan di dalam pelbagai situasi yang berbeza.

Peringkat Menarik Dan Berpotensi Besar

Secara keseluruhan terdapat lebih 20 peringkat berbeza yang dibahagikan kepada 4 kategori iaitu Racing, Survival, Team dan juga Final. Bagi saya buat masa ini, pusingan peringkat yang ada akan memberikan perasaan yang segar setiap sesi permainan. Walaupun ada beberapa peringkat yang kurang menarik dan bosan, tetapi secara keseluruhan setiap-nya dihasilkan dengan baik.

Dengan tingkah laku berbeza oleh setiap pemain, anda akan sentiasa mengalami pelbagai adegan menarik, lucu dan kucar kacir yang menjadikan pengalaman bermain sentiasa segar.

Namun, ini adalah minggu-minggu awal pelancaran, jika Mediatonic ingin kekalkan sesi permainan segar, mereka perlu terus menambah peringkat baharu dan juga meningkatkan kualiti peringkat sedia ada. Ini adalah cabaran untuk mereka, dan juga potensi yang baik untuk terus memastikan permainan ini berbaloi untuk dimainkan buat satu jangka masa yang lama.

Mereka juga boleh menyertakan pelbagai kategori lain, untuk membawa bentuk permain yang berbeza. Bahkan mod permainan berlainan, dengan kata lain, permainan ini sentiasa mempunyai peluang untuk mengandungi kandungan yang segar, jika pembangun memenuhi segala potensi yang ada.

Masalah Pelayan, Penipuan dan Teknikal

Hari-hari awal pelancaran, saya mempunyai masalah untuk bermain tidak kira di PC mahupun di PS4, namun pujian harus diberikan kepada Mediatonic kerana mereka dari hari ke hari meningkatkan kualiti pelayan dan kini hampir 2 minggu dilancarkan, boleh dikatakan ia mempunyai permainan yang stabil walaupun kekerapan penyelenggaraan masih lagi tinggi, ia sudah mencukupi untuk saya mengatakan anda tidak perlu risau dengan masalah ini lagi.

Bagi pemain di PC, ada satu lagi masalah lain iaitu penipuan. Ia mungkin juga berlaku di PS4 tetapi buat masa ini saya tidak pernah mengalaminya. Mediatonic mengatakan mereka sudah menyediakan program untuk mengesan penipuan, dan jumlah yang menipu semakin berkurangan akan tetapi sehingga kini saya masih lagi menjumpainya.

Seperti yang saya perkatakan di atas, permainan ini tidak memberi perasaan kompetitif seperti permainan lain, oleh itu masalah penipuan tidak sangat mengganggu pengalaman bermain, ada masa ia sekadar menjadi sesuatu yang mencuit hati, tetapi berharap mereka akan terus melakukan usaha untuk mengurangkannya.

Selain itu, terdapat juga beberapa masalah teknikal seperti ada masa ia tidak mendaftarkan pergerakan yang dilakukan oleh saya. Contohnya selepas menekan butang melompat, watak tidak melakukannya sebaliknya anda sekadar berlari dan jatuh. Ada juga masalah ‘hitbox’ yang aneh, terutama untuk permainan mencuri ekor. Ada masa lawan berada jauh, tetapi masih lagi dapat mengambil ekor tersebut. Ia mungkin berkait dengan pelayan.

Setiap masalah tersebut ada kecil sahaja, tetapi berharap ia dapat diperbaiki dalam masa terdekat.

Permainan Yang Wajib Dimiliki Oleh Semua

Saya boleh katakan yang, Fall Guys: Ultimate Knockout adalah permainan yang wajib dimiliki oleh kesemua pemain. Ia memberikan sesi permainan yang menyeronokkan, walaupun tahap kompetitif tidak setinggi permainan pertempuran royale lain, tetapi setiap kemenangan adalah perasaan yang sangat menyeronokkan.

Ini ditambah lagi dengan harga di PC sangat berpatutan iaitu RM39 sahaja, manakala di PS4 pula adalah percuma melalui PS Plus, oleh itu jika anda bukan pelanggan, saya sangat syorkan anda untuk melanggan sekurang-kurangnya selama sebulan untuk mendapatkan permainan ini. Jika terlepas, anda perlu berbelanja RM79 untuk membeli, dan masih perlukan PS Plus untuk bermain.

Sohor Kini