Pagi ini Presiden Trump mengeluarkan kenyataan mengharamkan urusan perniagaan di antara syarikat A.S dengan Bancet dan Tencent. Ini sekaligus mengesahkan halangan ke atas aplikasi popular TikTok dan WeChat dari beroperasi di negara mereka.
Tetapi arahan eksekutif yang diberikan menimbulkan spekulasi mengenai syarikat lain yang mempunyai pegangan majoriti Tencents seperti Epic Games, Activision Blizzard dan Riot Games. Kesemua studio besar ini adalah pembangun aplikasi popular League of Legends, World of Warcraft, PUBG Mobile, Call of Duty Mobile dan Fortnite.

Menurut ciapan Sam Dean yang merupakan penulis untuk L.A Times, halangan pada waktu ini terhad kepada aplikasi WeChat dan Tiktok sahaja. Maka peminat aplikasi lain boleh menghela nafas lega buat masa ini kerana permua serta permainan video mereka tidak akan diharamkan di A.S buat masa ini. Ia juga tidak akan mendatangkan kesan ke atas syarikat hiburan seperti Tencent Pictures, JOOX dan Universal Music Group yang mempunyai pegangan oleh Tencent.
Tetapi sekiranya Trump mempunyai perubahan hati, impak pengharaman ke atas Tencent ini boleh menyebabkan industri permainan video rebah secara sekelip mata. Kebarangkalian ini berlaku masih lagi tinggi memandangkan Trump sedang mencari cara untuk memaksa China untuk menandatangani perjanjian perdagangan baharu dengan Amerika Syarikat.
Usaha mereka sebelum ini dengan mengenakan halangan ke atas Huawei masih tidak mencukupi dan ramai melihat arahan eksekutif hari ini ialah langkah seterusnya untuk meningkatkan tekanan ke atas Beijing.


