Ubisoft Forward lepas telah melakukan pengumuman untuk beberapa permainan mereka, namun satu permainan yang tidak diumumkan adalah Skull & Bones.
Walaupun Ubisoft ada mengatakan yang akan ada Ubisoft Forward lain di masa hadapan di mana mereka menjanjikan lebih banyak pengumuman lain dilakukan, tetapi masih ramai yang tertanya mengenai status pembangunan Skull & Bones.
Minggu ini, laman VGC telah melaporkan yang Ubisoft telah melakukan pembangunan semula buat Skull & Bones pada tahun lepas untuk menjadikan ia lebih kepada permainan perkhidmatan langsung (live-service). Antaranya adalah ia tidak akan menyertakan penceritaan tetap, tetapi bergantung kepada interaksi pemain.
Laporan tersebut juga mengatakan yang mereka cuba melakukan perkara yang sama dengan bagaimana Epic Games menganjurkan pelbagai acara di dalam Fortnite. Selain itu, permainan tersebut juga dikatakan akan memfokuskan kepada permainan secara kasual dan bekerjasama berbanding pertandingan.
Berdasarkan apa yang diperkatakan, kita mungkin akan melihat Skull & Bones menjadi permainan seakan Sea of Thieves.
Dengan pembangunan semula ini, berkemungkinan besar, Skull & Bones akan mensasarkan konsol generasi baharu berbanding konsol sekarang. Skull & Bones merupakan permainan pertama yang diterajui oleh Ubisoft Singapura.


