Informasi Permainan Video Terkini
Apple Dilaporkan Membatalkan Beberapa Kontrak Pembangun Permainan Di Apple Arcade

Apple Dilaporkan Membatalkan Beberapa Kontrak Pembangun Permainan Di Apple Arcade

Diterbitkan pada July 1, 2020 oleh .

Apple Arcade iaitu langganan khas untuk peranti iOS dengan harga serendah RM19.90 sebulan untuk pelbagai permainan seakan servis Netflix semestinya satu langganan yang kelihatan sangat berbaloi atas kertas.

Akan tetapi, berdasarkan laporan Bloomberg, langganan tersebut mungkin tidak mendapat sambutan ramai di kalangan pelanggan di mana hari ini mereka dilaporkan membatalkan beberapa kontrak bersama pembangun permainan untuk platform tersebut.

Menurut laporan, pembatalan kontrak tersebut adalah disebabkan penerbit kreatif di Apple menyatakan beberapa permainan yang dibangunkandi platform tersebut, tidak mempunyai aspek yang menarik minat pelanggan seperti mana yang mereka harapkan.

Sejak pelancarannya dari September tahun lepas, langganan tersebut menerima pelbagai permainan baharu hampir setiap bulan di mana kini ia mempunyai lebih dari 120 permainan yang tersenarai. Namun, tidak satu permainan pun mendapat sambutan yang bagus menurut laporan.

Atas sebab demikian, Apple dilaporkan akan mengubah strategi pemasaran buat Apple Arcade dengan membatalkan beberapa kontrak pembangun. Namun laporan tersebut menyatakan yang mana segala pembayaran buat pembangun akan diselesaikan mengikut kemajuan mereka dan jika pembangun tersebut mencapai keperluan mereka, Apple masih lagi berminat untuk bekerjasama pada masa akan datang.

Buat masa ini, Apple tidak berkongsi sebarang informasi lanjut ataupun pengumuman rasmi berkenaan langganan Apple Arcade tersebut. Namun dengan pelancaran beberapa kemaskini baharu buat Apple Arcade beberapa minggu lepas, kami percaya Apple mungkin akan meningkatkan kualiti langganan tersebut pada masa akan datang.


TIPS & ULASAN