Skip to main content

Semalam ketika acara Apple WWDC Keynote, Apple mengumumkan secara sistem operasi baharu buat iPhone iaitu iOS 14 yang mana ia menyertakan pelbagai kemaskini baharu.

Untuk laporan penuh berkenaannya, anda boleh ke laman Amanz, namun kami di Aksiz hari ini akan memfokuskan kemaskini untuk Apple Arcade, iaitu servis langganan permainan video.

Antara kemaskini baharu yang akan tiba di Apple Arcade adalah fungsi untuk mencari permainan dengan lebih mudah seperti melihat senarai permainan yang dimainkan oleh rakan pelanggan dan fungsi untuk menyambung main antara peranti Apple di iPhone, iPad, Mac ataupun di Apple TV.

Selain itu, melalui Apple TV juga, Apple turut mengumumkan fungsi untuk menambah jumlah pemain dengan fail kemajuan permainan berbeza. Ini sekaligus akan membuatkan peranti Apple TV menjadi seakan konsol yang menyokong lebih dari satu pengguna untuk memudahkan sesi permainan.

Selain itu, Apple juga mengumumkan yang mana Apple Arcade di Apple TV akan menyokong alat kawalan Xbox One Elite Controller dan Adaptive Controller, iaitu alat kawalan khas dengan pelbagai tetapan untuk pemain kurang upaya.

Apple Arcade sudah dilancarkan untuk peranti iOS dan MacOS pada harga RM19.90 sebulan.

Leave a Reply