Lanjutan acara PlayStation 5 yang diumumkan oleh Sony Interactive Entertainment sebelum ini, Sony hari ini akhirnya memperlihatkan konsol PlayStation 5 secara rasmi.

Melalui acara tersebut, Sony mengumumkan akan terdapat dua variasi konsol PlayStation 5 iaitu versi cakera dan juga versi digital.
Versi digital kelihatan adalah seakan Xbox One S All Digital di mana ia tidak menyertakan cakera optik dan memfokus bermain secara digital. Kami percaya pelancaran versi ini adalah untuk menawarkan harga dengan lebih murah. Namun dari segi harga rasmi, ia masih belum diumumkan.

Sony juga mengesahkan yang mana konsol PlayStation 5 juga boleh diletakan secara baring buat kedua-dua versi digital dan cakera.
Menariknya, Sony juga memperlihatkan aksesori tambahan lain seperti PlayStation Kamera (HD Kamera) yang menyokong fungsi untuk pemain merekod muka ketika strim, alat kawalan jauh Media dan set fon kepala 3D Pulse.
Seperti yang Sony perlihatkan sebelum ini, PlayStation 4 turut akan menyertakan alat kawalan DualSense, iaitu alat kawalan rasmi menggantikan siri alat kawalan DualShock yang menyertakan pelbagai pembaharuan dan fungsi tambahan.
Berdasarkan video acah di atas, bicu audio juga disahkan akan tiba bersama dengan mikrofon secara terbina.
Buat masa ini, seperti yang kami nyatakan di atas, Sony masih belum mengumumkan harga dan tarikh pelancarannya secara rasmi. Namun ia disahkan akan hadir pada penghujung tahun ini.