Melalui blog rasmi PlayStation, Sony Interactive Entertainment hari ini akhirnya memperlihatkan alat kawalan rasmi untuk konsol PlayStation 5, di mana ianya kini tidak lagi dinamakan Dualshock, tetapi dengan nama baharu iaitu DualSense.

Seperti yang kami kongsikan sebelum ini berkenaan alat kawalan tersebut, DualSense ini akan menyertakan pelbagai bentuk perubahan dari segi sokongan haptik dan juga picu penyesuaian.

Untuk mengingatkan anda semula sokongan haptik adalah memfokuskan bentuk getaran (Rumble) buat alat kawalan Dualshock sebelum ini di mana kini dengan maklum balas haptik, ianya akan memberi gegaran yang lebih mendalam dan tepat seperti saat di mana kenderaan yang melalui berlumpur yang mana pemain akan merasai perbezaannya berbanding permukaan rata lain.

Manakala untuk picu penyesuaian yang terletak di butang L2 dan R2 pula kali ini melalui DualSense, ia akan mempunyai kesan rintangan berdasarkan apa yang pemain lakukan seperti menarik busur di mana lagi jauh ianya ditarik, picu tersebut akan menjadi lebih ‘berat’.

Dari segi rekaan pula, ianya mempunyai campuran berwarna putih dan hitam dan yang paling menarik minat kami adalah kali ini, DualSense ini tidak lagi mempunyai bar lampu yang besar di hadapan namun ianya hanya diletakkan di kiri dan kanan pad sesentuh.

Dari segi analog, ianya kelihatan seakan sama sahaja dengan DualShock 4 termasuklah juga rekaan Dpad. Dari segi bicu sambungan, kelihatan juga DualSense akan menggunakan USB C. Seperti DualShock 4, Sony juga mengesahkan yang mana DualSense akan mempunyai bateri yang boleh dicaskan.

Butang “Home” dengan logo PlayStation juga kelihatan lebih berbentuk logo dan bukan lagi satu butang bulat yang besar. Atas daripada butang tersebut juga kita dapat lihat pembesar suara yang seakan sama dengan DualShock 4 sebelum ini. Selain itu, Sony juga mengesahkan alat kawalan ini mempunyai mikrofon secara terbina secara terus. Namun ianya masih lagi menyokong fon kepala tambahan jika pemain ingin gunakannya.

Akhir sekali, kali ini butang “Share” kini telah digantikan dengan butang “Create” yang mana menurut Sony, kali ini ianya akan memberi lebih kebebasan buat pemain untuk kongsikan sebarang video ataupun paparan permainan. Namun, informasi lanjut berkenaannya akan diumumkan kemudian.

Semestinya dengan rekaan alat kawalan rasmi PlayStation 5 ini, kita sendiri pasti sudah mula terbayang bagaimanakah rupa akhir konsol tersebut kelak? Dengan mempunyai rekaan dua warna iaitu putih dan hitam, ini mungkin akan membuatkan rekaan PlayStation 5 kelihatan berbeza dengan konsol mereka sebelum ini.

Seperti biasa, kami di Aksiz pasti akan berkongsi berita terkini setelah Sony mengumumkannya kelak.

Sohor Kini