Setelah menunda acara PlayStation 5 minggu lepas atas sebab protes di Amerika Syarikat, Sony Interactive Entertainment hari ini akhirnya mengumumkan tarikh baharu buat acara tersebut secara rasmi di mana ia akan berlangsung minggu ini.
Menurut kenyataan rasmi PlayStation Asia, acara tersebut akan berlangsung pada Jumaat ini, 12 Jun 2020 pada jam 4 pagi waktu tempatan. Seperti biasa, acara tersebut boleh ditonton melalui saluran rasmi Youtube dan Twitch PlayStation
Menurut kenyataan Sid Shuman di laman rasmi PlayStation Blog, acara tersebut adalah acara khas yang sudah dirakamkan dan akan berlangsung sekitar sejam lebih. Menurut beliau, acara tersebut akan dipertayangkan dengan kualiti 1080p bersama kadar bingkai sesaat sebanyak 30FPS.
Sekaligus dari segi kualiti permainan yang akan diperlihatkan, ianya hanyalah atas sebab rakaman tersebut dan segala kandungan permainan semestinya akan menjadi lebih menawan jika dimainkan secara terus di konsol PlayStation 5 bersama TV dengan resolusi 4K.
Seperti biasa, kami di Aksiz pasti akan mengemaskini segala pengumuman kelak di sini.


