Untuk menggalakkan masyarakat duduk di rumah ketika musim penularan wabak koronavirus (Covid-19), MDEC minggu ini mengumumkan inisiatif khas bersama YANA.GG (You Are Not Alone) melalui penstriman khas yang akan dilakukan bermula tengah hari ini sehingga tengah malam ini.

YANA.GG merupakan platform khas untuk pemain berkongsi kandungan-kandungan permainan video dan pada masa yang sama berinteraksi dengan pemain lain secara global ketika tempoh berkurung ini. Dengan kerjasama bersama MDEC, bagi rantau Asia Tenggara acara tersebut akan dijayakan bersama Level UP KL bagi mewakili pemain-pemain dari rantau ini.
Bagi anda yang berminat, penstriman tersebut dilakukan secara langsung di Facebook rasmi Level UP sepanjang hari ini sehingga tengah malam ini pada jam 12 malam di mana anda boleh melihat jadual penuh acara tersebut di sini buat penonton di Malaysia.

Melaluinya anda boleh lihat beberapa pembangun seperti Magnus Games Studio, Illogical Games yang terlibat untuk mengadakan penstriman khas dengan pelbagai kandungan berkaitan permainan video.
Bagi penonton global pula, anda juga boleh ke laman rasmi YANA.GG untuk melihat beberapa penerbit-penerbit global lain yang turut bekerjasama dengan pelbagai kandungan melalui inisiatif ini seperti cabaran permainan Football Manager, mini permainan Minecraft dan sebagainya.
Anda juga boleh menyokong inisiatif ini dengan membeli barangan rasmi melalui kedai atas-talian YANA.GG.


