Epic Games nampaknya sedang pesat membangunkan platform penjualan permainan komputer atas talian mereka, Epic Games Store baru-baru ini. Semalam, kami telah melaporkan bahawa penebusan permainan-permainan percuma akan memerlukan pengguna untuk mengaktifkan ciri pengesahan dwi-faktor.

Hari ini, Epic Games Store sekali lagi menerima kemaskini baru melalui sokongan untuk matawang di lima buah negara tambahan. Ini termasuklah Australia, Canada, Denmark, Norway dan juga Sweden. Ini menjadikan sokongan matawang tempatan pada EGS meningkat kepada 15 jenis matawang.

Sokongan untuk matawang tempatan ini boleh dikatakan cukup penting kerana ia memudahkan pengguna-pengguna antarabangsa untuk mendapatkan nilai yang terbaik apabila membeli permainan komputer di platform tersebut, dan tidak lagi perlu lagi menukar tetapan rantau akaun mereka untuk mendapatkan nilai yang terbaik.

Sebagai contoh, Steam memperlihatkan permainan-permainan di Malaysia pada tanda harga Ringgit Malaysia, dan bergantung kepada jenis permainan, tanda harga di negara ini jauh lebih rendah berbanding Amerika di platform tersebut.

Kemaskini ini juga menunjukkan bahawa Epic Games sedar akan populariti platform tersebut di negara-negara asing, terutamanya kerana mereka memberi pengguna satu atau dua permainan percuma baru setiap minggu. Semoga kemaskini ini hadir untuk Malaysia satu hari nanti.

Sohor Kini