Sejak setahun dua yang lepas, Riot Games mula rancak membangunkan permainan yang bukan League of Legends, walaupun permainan tersebut membawa pelbagai kejayaan untuk mereka, tetapi mungkin sudah masa untuk mereka mengembangkan lagi sayap kepada pelbagai genre yang berbeza. Antaranya adalah Legends of Runeterra iaitu permainan kad oleh mereka.
Ia akan tiba secara rasmi pada 1 Mei ini, tetapi di beberapa negara termasuk juga Malaysia, ia sudah-pun dilancarkan untuk PC dan juga peranti iOS serta Android.
Legends of Runeterra dihasilkan di dalam dunia yang sama dengan League of Legends seperti Hearthstone berdasarkan dunia World of Warcraft ataupun Artifact oleh Valve di dalam dunia DOTA 2. Artifact boleh dikatakan kurang berjaya untuk mencabar Hearthstone, adakah ia akan menjadi satu perkara yang berbeza untuk Riot Games?
Bentuk Perlawanan
Walaupun bukanlah pakar di dalam kedua-dua permainan, tetapi selepas mencuba Legends of Runeterra saya boleh simpulkan yang ia membawa permainan kad kasual seperti Hearthstone dan pada masa sama membawa kerumitan permainan kad seperti Magic: The Gathering. Ia adalah perkahwinan yang baik di antara dua permainan tersebut, dan saya sangat menyukainya.
Secara ringkasnya, tujuan utama permainan ini adalah seperti LoL iaitu menghancurkan Nexus lawan. Pemain akan menggunakan pelbagai kad untuk menyerang Nexus sehinggalah daripada bernyawa 20 menjadi kosong.
Setiap pusingan, pemain mempunyai dua bahagian iaitu bertahan dan menyerang. Semasa pemain di bahagian menyerang sahaja pemain dapat menurunkan kad untuk menyerang. Semasa di bahagian bertahan, pemain boleh menurunkan kad untuk mempertahankan (block) Nexus daripada serangan lawan.
Bagi menurunkan kad, ia menggunakan sistem mana seperti Hearthstone, setiap pusingan mana ini akan bertambah, LoR mempunyai “spell mana”, iaitu mana yang berlebihan daripada pusingan sebelum ini akan dimasukkan ke dalam spell mana sehingga 3 mana. Mana ini khas untuk digunakan untuk menggunakan kad spell. Dengan kata lain, anda boleh sengaja tidak menggunakan sepenuhnya untuk memberi kelebihan di pusingan seterusnya.
Jika sistem mana adalah seperti Hearthstone, penggunaan kad pula boleh dikatakan mengambil inspirasi daripada Magic, di mana kad yang diturunkan, tidak semestinya perlu digunakan terus. Semasa pusingan menyerang, pemain boleh memilih untuk menggunakan kad tersebut untuk menyerang ataupun tidak, sama juga semasa bertahan.
Kombinasi dua sistem ini, memberi perlawanan yang unik dan tidak straightforward seperti Hearthstone, tetapi pada masa sama tidak bergantung harap kepada kad resource seperti di dalam Magic.
Jika Hearthstone, kebiasaan anda akan memikirkan sama ada untuk menurunkan kad tersebut ataupun tidak kerana, apabila ia diturunkan ia berkemungkinan akan diserang dan dimatikan. Namun di dalam LoR, menurunkan kad tidak semestinya anda akan terus guna, ia mungkin disimpan untuk pusingan yang lain. Namun, ada sesetengah kad yang dapat mematikan sesuatu kad, walaupun ia tidak dimainkan.
Perkara lain yang diambil daripada Magic adalah penggunaan spell, di mana ada jenis spell yang boleh digunakan pada pertengahan pusingan selagi mempunyai mana yang mencukupi, ini sangat berguna kepada pemain yang contohnya ingin mengelak daripada kad menyerang Nexus kerana tiada kad yang dapat bertahan. Ia akan memberi kejutan kepada lawan dan memaksa merubah strategi. Pada masa sama, lawan juga boleh menggunakan spell untuk mengelak daripada serangan mengejut tersebut.
Jadi apabila menurunkan kad, tidak semestinya anda berharap ia terselamat, tetapi sentiasa membuat saya memikir apa yang perlu disimpan untuk memastikan ia terselamat.
Selain spell, terdapat juga jenis kad Follower dan Champions. Follower adalah kad biasa yang mempunyai kuasa dan nyawa, manakala Champions pula ia seperti kad Follower tetapi boleh ditingkatkan tahap dengan melakukan ataupun menerima seperti yang tertulis di kad. Champions yang ditingkatkan tahap akan mempunyai kuasa dan nyawa yang bertambah dan juga pelbagai kelebihan yang lain.
Champions adalah menarik tetapi ia tidak lah kad yang sangat berkuasa sehinggakan akan mengubah keseluruhan permainan.
Bagi binaan dek pula, setiap dek mesti mempunyai 40 kad, dan daripadanya maksimum 6 Champions, dan hanya boleh mempunyai 3 sahaja untuk setiap kad termasuk juga Champions.
Kad pula dibahagikan kepada Region yang berbeza, setiap Region mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri. Setiap dek pemain hanya boleh menggunakan kad daripada 2 Region berbeza sahaja. Jadi boleh menghasilkan dek daripada 1 Region ataupun campuran 2 Region.
Ia sekali lagi mengambil sistem daripada Magic, dan ia membantu untuk memberikan variasi dek yang pelbagai.
Mod Permainan
Buat masa ini, mod permainan adalah terhad kepada bertempur dengan pemain lain sama ada untuk Ranked ataupun Normal, pemain juga boleh lawan A.I dan akhir sekali adalah mod Expeditions.
Mod Ranked mempunyai 7 Tier berbeza iaitu Iron, Bronze, Silver, Gold, Platinum, Diamond, dan Master.
Setiap Tier mempunyai 4 Division iaitu 1 sehingga 4. Untuk bergerak dari Tier, contohnya dari Iron ke Bronze, pemain perlu bergerak terlebih dahulu daripada Division 4 Tier tersebut sehinggalah Tier 1. Untuk bergerak daripada Tier ke Tier, mesti mengumpul 100 League Point (LP)s. LP ini diperoleh dengan memenangi perlawanan Ranked.
Pemain akan jatuh daripada Division jika kalah semasa mempunyai 0 LP, tetapi pemain tidak akan jatuh daripada Tier. Jika anda sudah mencapai Tier Gold, anda tidak akan jatuh kembali ke Tier Silver walaupun berkali-kali kalah.
Buat masa ini saya tidak dapat menguji dengan mendalam sistem Ranked, dan saya juga boleh katakan ia sedikit sukar untuk naik Tier. Namun, apabila permainan dikeluarkan secara rasmi, ia mungkin akan berubah dan menjadi lebih mudah. Selain itu, ia juga tidak mempunyai sebarang “rewards” dengan bermain Ranked selain daripada Icons.
Manakala Expeditions pula ia adalah seperti “Draft” di dalam permainan kad yang lain, di mana anda akan membayar sejumlah tertentu dan akan melalui Trials. Melalui Trials anda akan membina dek berdasarkan pilihan kad yang diberikan secara rawak. Anda tidak semestinya perlu memiliki kad tersebut.
Menggunakan dek tersebut anda akan lawan sehingga memenangi 7 perlawanan ataupun kalah 2 kali berturut-turut, anda akan diberikan ganjaran berdasarkan jumlah kemenangan. Setiap bayaran anda diberika 2 Trials, dan Trials yang terbaik akan menentukan ganjaran.
Mod permainan boleh dikatakan terhad buat masa ini, akan tetapi buat masa ini, kerana saya masih cuba mengenali kad-kad serta permainan ini, ia sudah memadai. Namun, apabila sudah lama bermain, saya akan inginkan mod-mod yang berlainan untuk memastikan permainan ini sentiasa segar.
Ekonomi
Persoalan utama yang mungkin di-tanyakan oleh pemain yang berminat adalah bagaimana cara untuk mendapatkan kad?
Bagi ekonomi di dalam permainan ini, saya boleh katakan ia berbeza dengan permainan kad-kad yang lain, satu perkara ia tidak langsung menyertakan pek yang memberikan kad secara rawak. Sebaliknya anda boleh menggunakan Coins, di mana coins ini diperoleh dengan bermain ataupun dibeli menggunakan wang ringgit. Setiap kad bernilai daripada 10 Coins sehinggalah 300 Coins bergantung kepada jenis kad.
Ia adalah sistem yang menarik, tetapi pada masa sama menakutkan jika Riot Games tidak memastikan sesuatu meta ataupun dek tidak menjadi terlalu kuat, kerana jika ada dek yang terlalu kuat, pemain yang mempunyai wang ringgit untuk berbelanja bagi membina dek tersebut akan mendapat kelebihan, dan ia mungkin menjadi “bayar untuk menang”.
Selain itu, ia juga menyertakan pelbagai ganjaran kemajuan yang digelar sebagai “Roads” ia berfungsi seakan Battle Pass, tetapi ia disertakan kepada semua pemain secara percuma. Pada permulaan, pemain akan mendapat “Prologue Road” selepas menyelesaikannya, pemain kini mendapat akses kepada pelbagai Roads lain yang dibahagikan berdasarkan Region yang berbeza.
Jika anda lebih banyak menggunakan kad daripada sesuatu Region, jadi anda boleh gunakan Road region tersebut untuk maju dengan cepat dan mendapat pelbagai ganjaran.
Selain itu, terdapat juga “Weekly Vault”, Vault tersebut akan mempunyai 13 tahap, dan anda akan meningkatkan tahap Vault tersebut dengan sekadar bermain, tidak kira anda menang atau kalah, ia akan memberikan XP untuk meningkatkan tahap Vault. Lebih tinggi tahap Vault tersebut, lebih banyak ganjaran yang diperoleh.
Dua sistem ini, bagi saya sangat membantu untuk memberi sebab untuk saya terus bermain, walaupun sistem Ranked tidak mempunyai ganjaran, buat masa ini, akan tetapi kedua-dua ini sudah mencukupi. Selain itu, adanya dua sistem ini, pemain tidak terlalu perlu berharap kepada pembelian kad untuk meningkatkan kualiti dek kerana ia boleh didapati secara percuma melalui ganjaran.
Dengan kata lain, buat masa ini, ekonomi yang disertakan di dan LoR sangat mesra pemain yang ingin bermain secara percuma, dan merasakan pemain yang bermula tidak akan rasa ketinggalan jika tidak berbelanja.
Grafik
Grafik mungkin merupakan perkara yang saya sangat suka mengenai permainan ini, setiap kad dihasilkan dengan karya yang sangat menarik. Namun, perkara utama adalah kesan visual yang bagi dilakukan dengan sangat baik.
Setiap pergerakan serta tindakan mempunyai kesan visual tersendiri yang serba sedikit memberi perasaan epik semasa melakukan setiap pergerakan tersebut. Interaksi di antara kad, seperti menyerang dan bertahan juga sangat memukau.
Selain mempunyai kelebihan yang unik, Champions juga menarik apabila ia berjaya ditingkatkan tahap, ia akan mempunyai animasi tersendiri yang walaupun sudah dilihat beberapa kali, ia masih memberi perasaan yang sangat menguja-kan.
Rekaan “board” pula adalah pelbagai dan menarik, tambahan ia adalah antara barangan kosmetik yang disertakan dan juga yang dapat dibeli oleh pemain di dalam permainan ini.
Bagi pemain baharu, iaitu sesuatu yang permainan ini akan mempunyai ramai, bantuan visual semasa pertempuran dilakukan dengan sangat ringkas dan mudah untuk difahami. Jika ada keyword, pemain boleh membesarkan kad tersebut dan sekadar menekan ataupun meletak sahaja pointer mouse ke keyword tersebut.
Semasa permulaan, saya melakukannya dengan kerap dan merasakan ia tidak langsung mengganggu sesi permainan dan sangat membantu untuk memudahkan saya memahami sesuatu kad.
Kualiti grafik ini juga baik, walaupun di mainkan di peranti pintar. Saya mencuba permainan ini di iPhone XR dan prestasi adalah sangat baik. Walaupun mempunyai pelbagai animasi yang berat, tetapi kelancaran langsung tidak terjejas. Ia juga benar untuk, antaramuka, walaupun dikecilkan bagi skrin telefon pintar, tetapi segala informasi yang diperlukan semasa perlawanan adalah jelas dan mudah untuk dilihat.
Bahkan saya boleh merasakan bertukar-tukar bermain di PC dan juga telefon tidak memberi pengalaman yang berbeza ia sentiasa baik.
Grafik ini juga dibantu dengan rekaan audio yang sangat baik, menambah lagi perasaan epik di dalam permainan ini.
Rumusan
Akhir kata, Legends of Runeterra bermula dengan pelbagai perkara yang baik. Ia menyertakan bentuk perlawanan yang menarik, walaupun mengambil inspirasi daripada permainan seperti Hearthstone dan Magic, tetapi ia masih mempunyai keunikan tersendiri.
Mod permainan walaupun buat masa ini adalah terhad, akan tetapi mencukupi untuk permulaan bagi memberi peluang kepada pemain untuk lebih mengenali kad serta sistem yang hadir di dalam permainan ini.
Jika Artifact cuba membawa sistem jual beli kad seperti kad fizikal, Legends of Runeterra juga cuba membawa kelainan bagi sistem ekonominya, dan sistem yang disertakan sangat baik dan sangat mesra pemain yang tidak berhajat untuk berbelanja. Sekurang-kurangnya buat masa ini.
Kesemua perkara di atas, dibantu lagi dengan kualiti grafik yang sangat baik bersama dengan rekaan audio yang sangat bersesuaian. Menjadikan pengalaman bermain yang sangat epik.
Jika anda meminati permainan kad, ataupun bermain secara kasual, saya sangat mengesyorkan untuk anda mencuba jawapan Riot Games untuk Hearthstone ini, dan saya merasakan anda akan terkejut bertapa anda menyukainya.
Penafian: Akses awal untuk Legends of Runeterra dan 3000 Coins disediakan oleh Riot Games.