Siri Animal Crossing semestinya boleh dikatakan salah satu siri dan hak intelek terbesar oleh Nintendo selepas Super Mario, Zelda mahupun Pokémon yang mana ianya mula diperkenalkan beberapa tahun lepas melalui konsol Nintendo GameCube dan terus menjadi satu fenomena global buat seluruh pemain di dunia.

Sejak pelancaran permainan pertama, siri Animal Crossing semestinya mendapat beberapa permainan utama dan permainan sampingan di pelbagai konsol Nintendo dan kini, pada 20 Mac 2020 lepas Nintendo akhirnya melancarkan permainan Animal Crossing seterusnya oleh mereka iaitu Animal Crossing: New Horizons di konsol Switch.

Sebelum saya mula ulasan saya, saya ingin terangkan dahulu di mana Animal Crosssing: New Horizons merupakan satu permainan bergenre sosial simulasi yang memfokuskan pemain untuk berhubung dengan pelbagai watak ataupun jiran pemain di samping mengumpul pelbagai barangan.

Apa yang membuatkan permainan ini unik dan berlainan dengan permainan lain ialah ia menggunakan sistem masa nyata daripada konsol setiap kali pemain log masuk. Ini sekaligus membuatkan segala bentuk permainan ini memfokuskan masa nyata pemain dan ia sangat penting sekali atas sebab terdapat beberapa kedai akan tutup jika lewat dari 10 malam ataupun beberapa barangan hanya boleh didapatkan pada awal pagi ataupun lewat malam sahaja.

Namun, fungsi ini juga boleh dieksploitasi dengan menukarkan jam dan waktu yang terdapat di dalam konsol Switch tersebut. Akan tetapi, untuk tidak merosakkan pengalaman permainan ini, kami tidak akan berkongsi akan eksploitasi tersebut.

Meskipun begitu, adakah kesan masa nyata tersebut akan membuatkan permainan ini menjadi kurang menarik? Ini adalah ulasan saya.

Penceritaan Ringkas “Percutian Di Pulau”

Animal Crossing: New Horizons bermula seperti siri permainan Animal Crossing sebelum ini di mana pemain berupaya untuk menghasilkan watak pemain sendiri dengan pelbagai gaya rambut dan bentuk muka berbeza. Pemain kemudian akan bertemu dengan seekor rakun ataupun Tanuki iaitu Tom Nook di mana beliau akan menawarkan pemain untuk “hidup” di satu perkampungan baharu.

Melalui permainan ini, ianya bertemakan “Percutian di pulau terbiar” di mana permulaan permainan ini, pemain disajikan sebagai salah seorang pelanggan yang melanggan servis untuk bercuti di pulau terbiar bersama beberapa watak lain, yang mana juga akan menjadi jiran anda.

Jika ingin menerangkan penceritaan dan plot naratif utama, semestinya permainan ini tidaklah mempunyai sebarang penceritaan yang mendalam ataupun plot dramatik seperti permainan lain.

Pada permulaan permainan ini, pemain akan mula kehidupan pemain di pulau tersebut dengan sebuah khemah dan beberapa barangan kecil sahaja. Pemain kemudiannya akan melanggan dan membeli beberapa servis lain yang disediakan oleh Tom Nook dan anak buahnya iaitu Tommy dan Timmy untuk mengembangkan lagi pulau tersebut. Dari menghasilkan beberapa kedai, permainan ini juga akan mengembangkan pulau tersebut dengan menghasilkan muzium, kedai pakaian dan sebagainya.

Apa tujuan utama permainan ini adalah pemain perlu tingkatkan kualiti pulau tersebut dengan menghias, membina jambatan dan juga menjemput pelbagai lagi haiwan lain untuk tinggal di pulau tersebut untuk dijadikan sebagai jiran-jiran pemain. Ini sekaligus membuatkan permainan ini mempunyai penceritaan yang sangat ringkas yang saya boleh katakan ianya sukar untuk saya ulaskan sama ada baik ataupun tidak atas sebab ianya berbentuk “terbuka”.

Namun memandangkan Animal Crossing: New Horizons masih menyertakan “pengakhiran” di dalam penceritaan setelah pemain mencapai satu kejayaan yang terdapat di dalam permainan ini, pada pendapat saya ianya masih lagi merupakan satu plot utama buat permainan ini dan boleh saya katakan ia adalah mencukupi untuk permainan yang berbentuk sebegini.

Visual Dan Rekaan Permainan Yang Sangat Comel

Semestinya visual permainan ini merupakan aspek tarikan utama buat pemain yang saya boleh katakan mempunyai visual yang sangat comel. Dari segi rekaan haiwan-haiwan sehinggalah rekaan pulau, visual permainan ini adalah sangat memuaskan dan saya boleh katakan tepat dengan gaya permainannya.

Siri Animal Crossing sejak 2001 lepas sememangnya mempunyai visual permainan yang ringkas dan comel bersama pelbagai jenis rekaan haiwan kartun yang menawan hati. Namun, jika ingin dibandingkan dengan permainan Animal Crossing utama sebelum ini seperti New Leaf, semestinya New Horizons mempunyai peningkatan visual yang sangat memberangsangkan.

Bukan sahaja rekaan watak kali ini lebih terperinci, malah rekaan pulau, barangan dan pakaian juga adalah sangat pelbagai, sekaligus membuatkan permainan ini semestinya adalah edisi lengkap untuk keseluruhan siri Animal Crossing.

Saya juga amat menyukai beberapa aspek rekaan perabot yang tersedia buat permainan ini termasuklah beberapa kandungan dan barangan yang bertemakan pelbagai musim dengan rekaan yang sangat menawan sekali. Semestinya ianya tidaklah mempunyai rekaan sempurna dan nyata seperti permainan AAA lain, namun untuk visual comel permainan, saya sudah berpuas hati dengan apa yang Nintendo bawakan.

Dari aspek prestasi permainan, Animal Crossing: New Horizons tidaklah mempunyai sebarang masalah prestasi ataupun kadar bingkai sesaat yang merosakkan pengalaman permainan. Akan tetapi, permainan ini mempunyai beberapa masalah dari segi skrin pemuatan yang agak lama sehingga melebihi satu minit dan sejak saya mengemaskini permainan ini ke versi 1.20, saya menghadapi skrin pemuatan yang lebih lama berbanding versi sebelumnya.

Akan tetapi, ianya tidaklah merosakkan keseluruhan permainan dan memandangkan permainan ini menyertakan satu lokasi luas pulau yang besar dan boleh dimainkan secara mudah alih, saya sendiri memahami bagaimana konsol Switch itu sendiri pasti agak sukar untuk memainkannya tanpa sebarang skrin pemuatan.

Walaupun begitu, bagi anda yang ingin dapatkan permainan ini, pastikan anda sendiri adalah seorang yang sangat penyabar dan bukanlah seperti saya.

Audio Dan Muzik Ringkas Yang Pelbagai

Sebelum saya mula ulasan bahagian audio dengan muzik permainan yang terdapat di dalam permainan ini, saya ingin dahulu menyatakan betapa comelnya suara latar yang terdapat di dalam permainan ini.

Semestinya permainan ini tidaklah menyertakan suara latar secara terperinci dengan perbualan ataupun percakapan suara manusia, tetapi ianya mempunyai bunyi-bunyian seakan percakapan sebenar yang saya boleh katakan adalah sangat comel sekali.

Dari segi aspek muzik pula, seperti tema comel yang sering saya katakan di atas, muzik-muzik yang terdapat di dalam permainan ini semestinya tepat dengan tema permainan ini. Sepanjang anda bermain permainan ini, anda boleh dapatkan pelbagai jenis muzik baharu dengan membelinya di kedai di mana ia menyertakan pelbagai jenis muzik daripada pelbagai jenis genre. Antara muzik yang tersedia seperti muzik Jazz, muzik Metal dan sebagainya, yang dinyanyikan oleh pemuzik terkenal di dalam dunia Animal Crossing iaitu K.K. Slider.

Selain itu, muzik lain seperti bunyi-bunyian ketika pemain berada di luar ketika malam ataupun siang, semuanya dihasilkan dengan baik sekali. Secara jujurnya, saya tidak ada sebarang aduan berkenaan aspek audio permainan ini dan ia dihasilkan dengan baik dan sekadar ada sahaja.

Walaupun begitu, saya berharap ianya menyertakan lebih banyak bunyian yang lebih unik, memandangkan kebanyakan kandungannya adalah sedikit terhad dan ianya berasa terlalu ringkas tanpa sebarang kepelbagaian yang berbeza.

Kawalan Dan Bentuk Permainan

Jadi mari kita ke kandungan utama yang membuatkan kenapa permainan ini disukai ramai oleh pemain, iaitu kawalan dan bentuk permainan.

Jika anda pernah bermain permainan Animal Crossing sebelum ini, anda pasti mengetahui apa yang anda boleh lakukan di dalam dunia permainan ini yang saya boleh katakan Animal Crossing: New Horizons adalah satu permainan yang sangat ringkas dan ia sesuai untuk dimainkan setiap hari selama beberapa minit sahaja.

Tetapi, untuk anda yang baru dengan siri ini, apa yang anda perlu tahu? Jadi pertama sekali, Animal Crossing: New Horizons adalah satu permainan simulasi sosial yang mana ianya memfokuskan anda untuk melakukan aktiviti harian dan mengumpul barangan. Seperti yang saya katakan di atas bahagian penceritaan, permainan ini meletakkan pemain di satu pulau terbiar di mana pemain kemudiannya perlu tingkatkan kualiti pulau tersebut dengan menghias dan membuka pelbagai kedai dan muzium.

Seperti kehidupan nyata, untuk melakukan perkara tersebut memerlukan wang dan permainan ini sememangnya menyertakan mata wangnya tersendiri melalui mata wang Bells, di mana pemain berupaya untuk mendapatkannya dengan menjual barangan seperti buah, ikan dan sebagainya.

Jadi bagaimana untuk mendapatkan barangan tersebut? Mudah sahaja, pemain perlu memancing, menanam pokok buah dan sebagainya, di mana kemudiannya pemain boleh gunakan hasil kerja keras pemain untuk tingkatkan kualiti pulau dan rumah pemain sendiri. Pada permulaan permainan ini, pemain akan tinggal di dalam khemah sahaja, kemudian pemain berupaya untuk membuat pinjaman dari Tom Nook, untuk menaik-taraf kediaman pemain seperti rumah, kemudian ke rumah dengan beberapa bilik tambahan dan sebagainya.

Dari segi barangan untuk memancing seperti joran dan sebagainya, permainan ini menyertakan satu konsep penghasilan barangan ataupun “Crafting” yang dipanggil “DIY Project” di mana melaluinya, pemain berupaya untuk menghasilkan barangan dan kelengkapan seperti perabot, alatan seperti kapak dan sebagainya. Untuk menghasilkan barangan tersebut, pemain juga perlu memiliki resipi barangan yang akan pemain dapatkan melalui kemajuan permainan ini.

Dari segi aspek muzium pula, pada permulaan permainan ini, jika pemain mengumpul 5 barangan yang boleh dikumpul seperti ikan dengan memancing, ataupun serangga dengan menangkapnya menggunakan jaring, ataupun fosil dengan menggalinya di tanah, pemain boleh memanggil Blathers untuk membuka muziumnya di pulau tersebut.

Pemain kemudian boleh mempamerkan barangan yang pemain kumpul di muzium dan jika pemain sudah pun mempunyainya di muzium, pemain boleh terus menjual barangan tersebut. Muzium tersebut pula boleh dilawati oleh pemain dan pemain boleh menikmati segala pencapaian pemain dengan rekaan muzium yang sangat menawan sekali.

Selain itu, pemain juga boleh menghias rumah, menghias pulau dengan meletakkan jambatan, menanam pokok dan sebagainya, yang mana saya boleh katakan ia membawa satu citarasa yang unik untuk pemain luahkan segala daya kreatif pemain. Konsep ini bukan sahaja membuat pemain untuk terus mencari pelbagai lagi barangan dan perabot, malah ia juga akan membuat pemain habis berpuluh-puluh jam untuk menghias pulau pemain.

Namun, apa yang membuatkan permainan ini berlainan dengan permainan Animal Crossing lain adalah sistem Nook Miles Program yang mana melaluinya, pemain boleh dapatkan pelbagai barangan tambahan.

Sistem ini seakan sistem kejayaan ataupun cabaran yang terdapat di kebanyakan permainan multi-pemain lain di mana jika pemain berjaya mencapai sesuatu kejayaan, pemain akan diberi ganjaran markah “Nook Miles” dan markah tersebut boleh ditukarkan di mesin yang terdapat di bangunan perkhidmatan kediaman untuk mendapatkan barangan seperti pakaian, perabot dan sebagainya.

Contoh cabaran yang tersedia adalah seperti memancing pelbagai jenis ikan, ataupun jumlah jualan yang pemain lakukan di kedai. Selain itu, permainan ini juga menyertakan beberapa cabaran harian kecil lain yang pemain boleh lakukan seperti memotong pokok, bercakap dengan jiran, menggali fosil dan sebagainya.

Selain itu, pemain juga berupaya untuk ke pulau misteri lain dengan membeli tiket khas dengan menggunakan markah Nook Miles tersebut. Melalui pengembaraan pulau misteri ini, pemain berupaya untuk bertemu dengan jiran baharu yang pemain ingin bawa pulang ke pulau ataupun mencari barangan sumber tambahan seperti batu, kayu dan juga serangga yang sukar ditemui seperti labah-labah tarantula ataupun kala jengking.

Setelah pemain tamat permainan ini, pemain juga berupaya untuk mengubah beberapa aspek rekaan pulau tersebut. Contohnya seperti membina tasik ataupun sungai, membina kawasan bukit yang lebih tinggi, lantai atau laluan jalan kaki dan sebagainya.

Seperti yang kami sering kongsi di Aksiz, permainan ini juga menyertakan beberapa acara masa terhad seperti pada awal April lepas, pemain boleh menyertai acara hari Arnab, di mana ianya adalah berdasarkan perayaan Easter Egg dan pemain boleh mencari telur-telur tersembunyi dan menghasilkan pelbagai jenis perabot ataupun pakaian bertemakan acara tersebut.

Asasnya, bentuk permainan ini semestinya sangat ringkas dan pada pendapat saya, Animal Crossing: New Horizons merupakan satu permainan yang anda mainkan sekitar 10 hingga 20 minit sahaja untuk satu sesi seperti mengutip barangan dan melakukan aktiviti harian seperti bersosial dengan jiran. Tetapi, inilah juga mengapa membuatkan permainan ini menarik adalah aspek ringkasnya permainan ini dan ianya semestinya sesuai untuk semua jenis pemain tidak kira sama ada pemain kasual ataupun pemain veteran.

Akan tetapi, untuk pemain veteran seperti saya sendiri, anda pasti akan kecewa dengan beberapa aspek kawalan dan rekaan pengalaman pemain di dalam permainan ini yang mana saya berasa agak menjengkelkan dari semasa ke semasa.

Perkara pertama adalah permainan ini tidak membenarkan untuk menukar kamera ke kiri atau kanan ketika berada di luar dan hanya terhad kepada pandangan atas dan ke bawah sahaja. Ini bukan sahaja membuatkan terdapat banyak titik buta di dalam permainan ini, malah jika pemain berada di lokasi yang penuh dengan pokok, pemain akan sukar untuk mencari barangan yang terdapat di lantai.

Satu lagi aspek aduan yang saya sangat kecewa adalah konsep penghasilan barangan melalui DIY Project yang hanya terhad untuk satu barangan saja setiap kali saya ingin hasilkannya. Had ini merupakan perkara yang sangat dibenci oleh saya kerana jika saya ingin menghasilkan umpan memancing yang banyak, saya perlu menekan butang berulang kali atas sebab had tersebut. Sebagai satu permainan yang memfokuskan penghasilan barang, Nintendo sepatutnya membenarkan pemain untuk menghasilkan lebih dari satu barang serentak.

Terdapat pelbagai lagi aduan kecil saya berkenaan permainan ini, namun semestinya ianya tidaklah membuatkan permainan ini tidak langsung seronok untuk dimainkan, cuma aduan ini sedikit sebanyak adalah berkenaan sistem dan rekaan mesra pemain yang agak menyusahkan dan saya percaya segala aduan ini boleh dibaiki dengan mengemaskini permainan dan saya percaya Nintendo akan mengemaskininya kelak.

Bentuk Sosial “Multi-Pemain”

Animal Crossing: New Horizons semestinya menyertakan beberapa aspek multi-pemain yang agak ringkas dan seperti permainan sebelum ini di mana anda boleh melawat pulau-pulau pemain lain dan berinteraksi dengan mereka. Aspek multi-pemain di dalam permainan ini juga mengapa membuatkan permainan ini menjadi kegilaan ramai dan ini juga disebabkan bentuk simulasi sosial yang disertakan.

Jadi secara asasnya, permainan ini mengehadkan 8 pemain untuk berada di dalam satu pulau termasuk tuan rumah. Akses multi-pemain tersebut boleh di lakukan secara atas-talian ataupun luar-talian melalui hubungan setempat dengan konsol Switch.

Untuk melawat pulau pemain lain, anda boleh aksesnya di lapangan terbang yang terdapat di pulau tersebut dengan memilih secara atas-talian ataupun setempat. Selain dari akses pulau dari senarai kawan, anda juga boleh melawat pulau pemain lain melalui kod Dodo. Kod ini berfungsi seakan kata laluan untuk mengakses sesuatu lobi multi-pemain seperti permainan lain.

Melalui fungsi ini, pemain bukan sahaja berupaya untuk menukar barangan sesama pemain lain, malah pemain boleh melawat pulau tersebut dan buang masa bersama seperti lepak, ataupun memperkenalkan diri dengan jiran-jiran yang terdapat di sesuatu pulau tersebut.

Selain daripada itu, pemain juga boleh merosakkan ataupun mengubah suasana pulau pemain lain jika pemain inginkan. Namun untuk lakukan perkara tersebut, pemain perlu dahulu berada di senarai kawan baik yang tuan rumah pulau tersebut boleh tetapkan.

Konsep ini tidaklah terlalu unik ataupun berlainan dengan permainan multi-pemain lain. Namun, memandangkan visual permainan ini yang sangat comel di campurkan pula (Ulasan ini ditulis ketika wabak koronavirus, Covid-19 tular sekaligus kebanyakan negara berada di dalam perintah kurungan) had penjarakan sosial akibat berkurung di rumah, semestinya membuatkan permainan ini menjadi langkah alternatif untuk pemain berhubung sesama sendiri.

Walaupun begitu, terdapat juga beberapa aspek multi-pemain yang saya agak kecewa buat permainan ini, seperti tiada kandungan ataupun mini-permainan yang pemain boleh lakukan ketika melawat pulau pemain lain. Ini sekaligus membuatkan permainan ini hanyalah terhad untuk melakukan perkara harian yang sering pemain lakukan di dalam permainan ini sahaja seperti memancing dan sebagainya.

Selain itu, satu aduan utama yang saya ingin ketengahkan adalah saat ketika pemain ingin memasuki sesuatu pulau tersebut, ianya memakan masa yang sangat lama dengan skrin pemuatan yang sangat menjengkelkan. Untuk buatnya lagi teruk, setiap satu pemain memerlukan skrin pemuatannya tersendiri, sekaligus juga seorang pemain menjemput 8 pemain untuk ke pulau, anda mungkin perlu menunggu sehingga lebih dari 10 minit dengan melihat skrin pemuatan tersebut dilakukan secara satu-satu buat setiap pemain.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh akhiri ulasan ini adalah semestinya Animal Crossing: New Horizons bukanlah satu permainan yang dimainkan dalam tempoh masa yang pendek. Dengan pelbagai kemaskini kandungan yang disertakan oleh Nintendo dari semasa ke semasa, termasuklah kandungan bentuk permainan masa nyata dengan pengumpulan barangan, permainan ini sudah pasti akan menjadi peneman pemain sepanjang tahun, sebagai satu permainan sampingan kecil untuk dimainkan bagi mengisi masa lapang dan dimainkan tanpa henti.

Bukan sahaja ianya menyertakan bentuk dan visual yang comel, malah aspek interaksi sosial sesama pemain lain dan juga jiran-jiran pemain comel, semestinya membuatkan permainan ini adalah satu permainan terbaik buat mereka yang ingin mainkan ketika berkurung di rumah.

Saya sendiri juga pasti akan terus bermain permainan ini sepanjang tahun ini dan saya boleh lihat saya sendiri pada masa akan datang kelak, pasti akan menghabiskan lebih dari 400 jam sahaja untuk bermain permainan ini dan akan terus bermain sehinggalah Nintendo melancarkan permainan Animal Crossing seterusnya.

Sohor Kini