Kemaskini: Kedua-dua permainan berikut sudah boleh ditebus dan dimuat turun untuk semua yang memiliki akaun PS Store. Ia tidak memerlukan langganan PS Plus. Pautan kami sertakan di akhir artikel.
Sony baru sahaja mengumumkan inisiatif terbaru untuk membantu para pemilik konsol Sony PlayStation 4 di rumah untuk mengekalkan penjarakan sosial yang dinamakan Play At Home.
Dengan inisiatif ini, para pemilik konsol PlayStation 4 boleh memuat turun dua permainan di konsol tersebut secara percuma bermula 16 April hingga 5 Mei kelak. Dua permainan yang akan diberi secara percuma ini termasuklah Uncharted: The Nathan Drake Collection dan juga Journey.
Bagi mereka yang tidak tahu, Uncharted: The Nathan Drake Collection ialah permainan Uncharted 1, 2 dan 3 yang diolah semula oleh studio pembangunnya, iaitu Naughty Dog untuk konsol PlayStation 4.
Journey pula ialah permainan indie popular oleh Thatgamecompany yang menerima ulasan positif kerana rekaannya permainannya yang mudah dihadam, cantik dan sangat santai.
Bercakap tentang pembangun indie, Sony Interactive Entertainment turut mengumumkan bahawa mereka telah membangunkan dana sebanyak $10 juta untuk membantu studio-studio indie mengatasi masalah ekonomi akibat wabak COVID-19 di seluruh dunia. Butiran lanjut mengenai dana ini akan diumumkan oleh mereka kelak.
[download]PS Store: Play at Home[/download]


