Blizzard Memperlihatkan Butiran Baru Mengenai Diablo IV

Sejak pengumuman Diablo IV di acara BlizzCon tahun lalu, Blizzard telah merahsiakan perihal permainan ini dengan ketat sekali. Selain daripada sebuah video acah 10 minit yang diperlihatkan, tidak banyak butiran lain yang diketahui mengenai permainan tersebut selain daripada beberapa perubahan dari segi sistem kebolehan dan corak permainan.

Blizzard akhirnya telah menunjukkan beberapa butiran mengenai pembangunan Diablo IV, dan telah mengatakan akan terus melakukannya setiap tiga bulan, menunjukkan para peminat Diablo IV perihal pembangunan permainan tersebut.

Didalam pengumuman terbaru, Blizzard memperlihatkan beberapa keputusan yang dibuat mengenai elemen rekaan barangan, antaramuka dan juga cara permainan yang sedang dibangunkan buat masa ini.

Diantara perubahan ketara yang dapat dilihat, khususnya jika anda peminat siri Diablo ini ialah sistem inventori yang diperbaharui. Didalam Diablo IV, barang-barang yang diperoleh tidak lagi akan hadir dalam saiz-saiz yang berlainan seperti permainan-permainan Diablo sebelum ini.

Para pembangun juga telah menguji mengalihkan antaramuka kebolehan ke bahagian kiri skrin untuk memaksimakan paparan supay pemain lebih mudah melihat musuh-musuh, tetapi berdasarkan maklum-balas penguji, antaramuka tersebut akan dialihkan kembali ke tengah skrin untuk versi PC.

Diablo IV juga memperlihatkan beberapa perubahan dari segi pengawalan permainan, dimana pemain boleh menggunakan mana-mana kekunci untuk kebolehan-kebolehan watak mereka, dan menggunakan butang tetikus kiri untuk menggerakkan watak tersebut sahaja.

Selain daripada itu, Blizzard juga sedang menguji sokongan pengawal D-Pad untuk mengawal watak, selain daripada menggunakan papan kekunci dan tetikus sahaja.

Lebih menarik lagi, mod kooperasi satu skrin (couch co-op) juga nampaknya akan diperkenalkan dimana dua (atau lebih) pengguna boleh bermain permainan yang sama pada masa yang sama tanpa masalah. Melalui mod kooperasi ini juga setiap pengguna boleh mengakses inventori mereka tanpa mengacau pemain yang lain.

Blizzard turut memperlihatkan beberapa konsep baru dalam rekaan watak-watak jahat didalam Diablo IV. Selain daripada rekaan yang lebih menggerunkan, raksasa syaitan kini dikumpulkan didalam “Monster Family“, iaitu raksasa-raksasa yang mempunyai “tema” yang sama.

Malah, untuk pertama kalinya, Diablo akan memperkenalkan kumpulan musuh manusia pertama yang dinamakan Cannibal Family yang dikatakan terdiri daripada kumpulan Barbarian yang diusir dari Arreat dan memakan daging manusia.

Berdasarkan kekerapan butiran yang akan dikeluarkan oleh Blizzard mengenai pembangunan Diablo IV, terdapat kebarangkalian permainan ini hanya akan dilancarkan sekitar 2021 ataupun 2022 kelak. Sebagai peminat tegar siri ini, saya tidak sabar untuk mengetahui butiran lanjut mengenai permainan ini.

Sohor Kini