Sejak dua tahun lalu, ura-ura mengenai filem Morbius akan dihasilkan oleh Sony telah kedengaran. Filem ini akan berada dalam dunia Marvel Sony yang tersendiri. Selepas kejayaan filem Venom, yang mana adalah antara yang pertama dalam dunia Sony Marvel – Sony meneruskan idea untuk menghasilkan filem Morbius.
Morbius adalah watak dalam dunia Spider-Man, dan Sony adalah pemilik kepada IP Spider-Man. Jadi ia tidak menjadi masalah untuk Sony hasilkan filemnya. Sejak awal tahun lepas, Jared Leto dikatakan akan melakonkan watak Dr. Michael Morbius/Morbius. Morbius adalah puntianak hidup yang merupakan musuh kepada Spider-Man. Saya katakan Morbius adalah puntianak hidup kerana, Dr. Michael menghadapi sayu penyakit darah yang serius dan kritikal. Dalam usaha mencari jalan untuk sembuhkan diri dengan DNA kelawar, beliau telah menjadi puntianak hidup (ini kerana puntianak biasanya adalah undead). Morbius juga mempunyai kuasa boleh terbang, adi-kuat dan juga menyembuhkan diri apabila cedera.

Hari ini, Sony akhirnya telah memperlihatkan buat pertama kalinya video acah bagi Morbius. Video acah ini memperlihatkan asal-usul Morbius yang boleh saya katakan mirip dengan komik (selepas membuat kajian ringkas). Ia tampak menarik, lain daripada yang lain dan ada kemungkinan besar Jared Leto akan mempunyai prestasi yang mengagumkan. Al-maklumlah dalam Suicide Squad, prestasi beliau sebagai Joker adalah hambar. Dalam video ini juga, ia mempertontonkan kekejaman Morbius, haus dengan darah dan jelas sekali memfokuskan perkembangan watak Dr. Michael Morbius berubah menjadi Morbius.

Adakah ini filem adiwira? Adakah ia akan mempunyai kaitan dengan Spider-Man atau MCU? Jawapannya adalah ya dan tidak. Ya, ia adalah sebahagian dari filem adiwira. Tetapi ini adalah strategi Sony, iaitu menghasilkan filem yang watak utamanya adalah penjahat – seperti Venom. Morbius di dalam komik memang terkenal sebagai salah seorang dari musuh Spider-Man, tetapi sayang sekali ia tidak berada dalam MCU. Sebaliknya adalah dalam dunia Sony Marvel tersendiri, seperti Venom. Tetapi, dalam video acah ini ada kelihatan poster Spider-Man versi Sam Raimi yang dilakonkan oleh Toby Maguire. Kemudian yang paling mengejutkan adalah watak penjahat dari filem Spider-Man Homecoming – Michael Keaton yang melakonkan watak The Vulture telah muncul!
Kejap, apakah ini?
Bukankah Spider-Man Homecoming berada dalam MCU? Tetapi Morbius bukan MCU? Saya ada penjelasan yang mudah anda fahami. Spider-Man lakonan Tom Holland hanya ada dua lagi filem sahaja untuk berada dalam MCU. Filem yang pertama adalah filem solo dan filem kedua dan terakhir adalah penampilan dalam filem MCU yang lain. Salah satu filem ini akan memperlihatkan bagaimana Spider-Man akan tinggalkan MCU, atau meninggalkan pasukan Avengers. Jadi dengan filem Morbius ini, Sony sedang mengunci masa depan Spider-Man dengan persiapan awal untuk kaitkan Spider-Man dengan Morbius, Venom atau juga The Vulture dalam filem khusus Spider-Man dalam dunia Sony Marvel.

Jadi bagi peminat Spider-Man, jangan risau dengan watak ini. Kerana Sony kini bijak menguruskan dan menjaga IP mereka. Mereka jelas di sini tidak ingin sia-siakan watak Spider-Man dan akan teruskan dunia Sony Marvel. Kelak, kita mungkin boleh lihat dunia Spider-Man Tom Holland bertemu dengan Spider-Man Into The Spider-Verse. Oh ya, ada juga ura-ura mengatakan yang watak J. Jonah Jameson lakonan J.K. Simmons akan muncul. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.