Pengumuman Need for Speed Heat boleh dikatakan satu kejutan apabila EA mengumumkan permainan tersebut secara rasmi pada bulan Ogos iaitu hanya tiga bulan daripada tarikh pelancaran pada 8 November 2019. Ia dibangunkan oleh Ghost Games yang menjadi pembangun untuk siri ini sejak Need for Speed Rivals.
Menurut EA, mereka akan mengembalikan perkara yang disukai oleh pemain melalui permainan-permainan terdahulu Need for Speed seperti Undergrounds, tetapi pada masa sama membawa perkara terbaru untuk siri ini.
Saya bukanlah pengikut setia Need for Speed, dan bukan juga penggemar genre simulasi perlumbaan kereta, jadi bagaimana Need for Speed Heat untuk pemain kasual seperti saya?

Cerita
Satu yang sering menjadi keunikan untuk siri Need for Speed berbanding dengan permainan yang berkongsi genre yang sama adalah ia menyertakan penceritaan di samping menjadi tempat pemain untuk berlumba.
Namun, satu perkara yang sering mengecewakan untuk permainan Need for Speed sebelum ini adalah penceritaan yang disertakan agak mendatar dan terasa terlalu mendatar. Bagaimana pula dengan Need for Speed Heat?
Saya boleh katakan walaupun penulisan dan plot penceritaan adalah lebih baik akan tetapi ia masih lagi rasa sangat mendatar dan tidak ubah menjadi sekadar sampingan sahaja untuk permainan ini.

Bagi anda yang tidak pernah mengambil kisah mengenai penceritaan mungkin ia bukan satu masalah, tetapi bagi saya yang bermain secara kasual, penceritaan adalah salah satu perkara yang menarik minat saya untuk bermain.
Penceritaan yang disertakan adalah pendek, watak-watak pula adalah generik, dan secara keseluruhan plot sangat mudah untuk dijangka. Walaupun ini bukanlah satu permainan RPG ataupun aksi pengembaraan, akan tetapi jika penceritaan dibuat dengan lebih baik ia mungkin dapat menarik lebih ramai pemain.
Walaupun begitu, untuk permainan simulasi perlumbaan kereta, ia masih lagi satu penceritaan yang cukup untuk memperkenalkan dunia permainan ini kepada pemain.

Bentuk Permainan
Satu yang lebih penting untuk Need for Speed sudah semestinya bentuk permainan terutama perlumbaan itu sendiri dan bagi saya sebagai pemain kasual, ia adalah satu pengalaman perlumbaan arked yang baik, ia juga menyertakan pelbagai mod berbeza untuk pemain mengisi masa, tetapi selepas berakhirnya penceritaan saya tidak merasa ingin untuk meluangkan masa yang lebih lama.
Need for Speed Heat menyertakan 2 jenis kemajuan di dalam permainan ini iaitu pada waktu siang dan waktu malam. Waktu siang boleh dikatakan sebagai perlumbaan secara “halal” di mana tidak akan ada trafik dan juga polis. Manakala pada waktu malam pula, ia adalah perlumbaan “haram” di jalan terbuka yang mempunyai trafik dan mungkin juga dikejar oleh polis yang sedang meronda.
Ia juga menyertakan 2 perkara penting untuk kemajuan iaitu wang dan juga reputasi. Wang digunakan untuk membeli kereta, meningkatkan tahap, membeli barangan hiasan kereta, membeli pakaian. Manakala reputasi adalah tahap pemain, yang penting untuk menyah-kunci kereta serta barang-barang untuk meningkatkan tahap kereta.

Pembahagian perlumbaan waktu siang akan memfokuskan kepada pemain untuk mendapatkan wang, manakala pada waktu malam untuk meningkatkan reputasi. Pembahagian dua ini adalah menarik pada awal permainan, tetapi menjadi agak menyusahkan kerana pemain perlu memasuki garaj sebelum dapat menukar siang dan malam.
Ini ditambah lagi dengan perlumbaan waktu siang lebih membosankan jika ingin dibandingkan dengan perlumbaan waktu malam. Walaupun menjadi perlumbaan yang profesional, tetapi ia sekadar membuang trafik dan polis, daripada segi perlumbaan ia masih sama dan bagi saya ia agak mengecewakan.
Saya lebih gemari jika perlumbaan yang halal turut menyertakan peraturan-peraturan perlumbaan seperti tidak boleh menggunakan pintasan dan juga melanggar kereta lain, agar ia membawa satu kelainan berbanding dengan perlumbaan biasa pada waktu malam.
Perlumbaan pada waktu malam adalah jauh lebih menarik, kerana terdapat pelbagai halangan akan tetapi cara ia memperlihatkan laluan mungkin perlu dipertingkatkan kerana ia tidak jelas dan saya sering tersalah jalan, jika terlalu kerap ia menjadi sangat menjengkelkan.
Polis walaupun turut hadir pada waktu siang, tetapi fokus utama adalah pada waktu malam kerana perlumbaan yang disertai oleh pemain adalah secara haram. Seperti permainan-permainan Need for Speed sebelum ini, dikejar polis adalah satu perkara menarik akan tetapi pada permulaan sebelum anda memiliki kereta yang berkuasa ia sangat menjengkelkan.

Terutama kerana sistem “Busted” bagi saya sangat tidak adil, walaupun kerana sedang bergerak, yang membolehkan pemain untuk melarikan diri tetapi tolok Busted akan terus bergerak dan ia bergerak dengan cepat menjadikan pemain agak mudah untuk ditahan.
Oleh kerana ia berkait dengan reputasi, suka ataupun tidak, anda terpaksa cuba untuk melawan dengan polis agar dapat meningkatkan tahap Heat yang akan memperbanyakkan jumlah reputasi yang diperoleh oleh pemain. Mendapatkan wang dan meningkatkan tahap reputasi adalah penggerak utama untuk permainan ini, ia juga perkara yang penting untuk menyelesaikan penceritaan.
Terdapat pelbagai jenis perlumbaan yang berbeza seperti Circuit, Sprint, Time Trial, Drift dan juga perlumbaan “rali”. Selain perlumbaan, terdapat juga pelbagai aktiviti sampingan yang boleh dilakukan oleh pemain jika anda penat berlumba antaranya adalah melanggar papan iklan ataupun “speed trap”.
Kebanyakan perlumbaan saya menggunakan tahap kesukaran “Normal” dan setiap perlumbaan akan disertakan dengan tahap kereta yang dicadangkan, jika anda menggunakan tahap kereta yang lebih atau kurang sedikit daripada tahap yang dicadangkan ia akan memberikan perlumbaan yang mencabar.
Ada juga kadang-kadang yang AI memiliki kereta yang terlalu laju menjadikan anda sukar untuk mengejar walaupun menggunakan tahap kereta yang lebih tinggi daripada tahap dicadangkan.
Jika anda merasakan ia terlalu sukar ataupun senang, anda boleh menukar tahap kesukaran pada bila-bila masa termasuk juga semasa perlumbaan (memerlukan anda untuk memulakan sesuatu perlumbaan).
Segala perlumbaan dan aktiviti ini berlaku di bandar Palm City (bandar fiksyen berdasarkan Miami) yang bagi saya direka dengan sangat menarik menjadikan pengembaraan di dalam permainan ini adalah satu perkara yang mengasyikkan.

Satu perkara yang membuatkan saya menyukai permainan Need for Speed Underground 2 adalah sistem ubah suai kereta, dan di dalam Heat ia membolehkan pemain untuk betul-betul menghias kereta dengan pelbagai rekaan. Dengan kebanyakan hiasan seperti pelekat diperoleh dengan percuma, ia adalah satu perkara yang menjadi kegilaan untuk pemain-pemain kreatif. Bagi anda yang tidak kreatif ataupun mempunyai masa untuk menghias seperti saya, anda juga boleh memuat turun rekaan pemain lain.
Kesemua ini menjadikan permainan ini mempunyai kepelbagaian pengisian yang baik untuk pemain, namun bagi saya sebagai pemain kasual selepas berakhirnya penceritaan, ia tidak memberi saya motivasi yang cukup untuk terus bermain.
Namun, jika anda meminati permainan perlumbaan kereta, dengan pelbagai perkara boleh dilakukan, pelbagai kereta yang boleh diguna, pelbagai perlumbaan yang ada, ia adalah satu permainan yang cukup baik. Ini ditambah lagi jika anda bermain secara dalam talian dan dapat berlumba dengan pemain-pemain lain.

Grafik
Saya bermain di Need for Speed Heat di PlayStation 4 Pro dan saya boleh katakan kualiti grafik yang disediakan sangat memuaskan terutama daripada segi resolusi (ia berbeza untuk PS4 biasa). Rekaan kereta serta kualiti tekstur sangat baik dan seperti saya perkatakan sebelum ini termasuk juga dengan rekaan bandar.
Manakala rekaan watak boleh dikatakan baik kecuali rekaan untuk watak pemain, ada kemungkinan yang watak yang anda guna, juga digunakan oleh watak NPC menjadikan ia sangat nampak tidak realistik.
Ia juga masih mengekalkan 30 kadar bingkai sesaat seperti permainan Need for Speed yang lain, bagi saya ia agak mengecewakan terutama untuk dimainkan di PlayStation 4 Pro yang saya merasakan ia mampu untuk mencapai sekurang-kurangnya 60 kadar bingkai sesaat jika resolusi permainan boleh diubah.
Namun, secara keseluruhan saya boleh katakan ia menawarkan kualiti grafik yang baik, kelancaran walaupun sekadar 30 kadar bingkai sesaat sahaja tetapi ia adalah stabil.
Audio
Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan rekaan audio di dalam permainan ini, terutama saya adalah pemain yang tidak sangat mahir di dalam kereta tetapi bunyi yang disertakan saya merasakan cukup baik dan memberi perasaan yang sangat realistik.
Satu perkara yang saya tidak suka adalah pilihan muzik yang disertakan di dalam permainan ini. Saya boleh katakan hanya ada dua atau tiga lagu sahaja yang menarik, selebihnya terlalu bising dan bosan. Sehinggakan saya menutup muzik di dalam permainan dan memasang lagu sendiri semasa bermain.
Lakonan suara untuk penceritaan pula dilakukan dengan baik, setiap pelakon menjiwai watak masing-masing walaupun dengan penulisan skrip dan dialog yang agak tipikal dan membosankan.
Rumusan
Akhir kata, Need for Speed Heat adalah permainan yang baik, ia menyertakan pelbagai aktiviti serta konsep perlumbaan waktu siang dan waktu malam sangat menarik. Kualiti grafik dan audio juga membantu walaupun mempunyai beberapa kekurangan kecil.
Namun, bagi pemain kasual seperti saya, ia tidak memberi motivasi yang mencukupi untuk saya terus bermain selepas menyelesaikan penceritaan, manakala bagi anda yang meminati permainan perlumbaan kereta anda akan mempunyai masa yang baik bermain.

Penafian: Kod permainan untuk Need for Speed Heat disediakan oleh EA.