Pada 15 November 2019, siri Papa Pipi telah pun disiarkan di saluran YouTube rasmi Monsta. Ia adalah siri sampingan BoBoiBoy yang memfokuskan watak Papa Zola dan anaknya Pipi Zola. Episod pertama siri ini mempunyai durasi hanya bawah 3 minit sahaja. Walaupun hanya klip yang pendek, dalam masa empat hari siaran sudah pun mencapai lebih 1 juta tontonan.

https://youtu.be/eS5b97Gy8uY

Hari ini, pihak Monsta telah mengadakan acara penghargaan bagi kejayaan filem BoBoiBoy Movie 2. CEO Monsta, Nizam Razak – telah berkongsi yang kelak di masa hadapan siri Papa Pipi akan menjadi satu siri TV yang panjang. Bukan itu sahaja, bermula tahun hadapan sehingga 2021 – Monsta akan memfokuskan sepenuhnya untuk pembangunan siri animasi baharu Mechamato. Sebelum ini pihak Monsta telah pun mengesahkan yang watak utama siri Mechamato adalah bapa kepada BoBoiBoy dan siri ini akan mengisahkan watak ini ketika zaman muda beliau.

Lebih mengejutkan, Nizam Razak turut berkongsi yang Papa Pipi dan Mechamato kelak akan mempunyai filem yang tersendiri. Akan tetapi, filem ini hanya akan dibangunkan jika sambutan Papa Pipi dan Mechamato adalah memberangsangkan. Sedikit tambahan mengenai Mechamato, walaupun ia adalah prekuel dan berlaku sebelum BoBoiBoy – tiada garis masa yang tetap akan diperlihatkan. Sebaliknya, ia bergantung kepada peminat untuk menghubungkan apa kaitan Mechamato dan BoBoiBoy.

Sohor Kini