Skip to main content

Selain daripada permainan DokeV yang diumumkan hari ini, Pearl Abyss iaitu pembangun untuk permainan Black Desert juga mengumumkan permainan baharu iaitu Plan 8 di mana ianya akan memfokuskan permainan berbentuk penembak yang mana juga akan menyertakan elemen dunia terbuka dengan fungsi multi-pemain.

Seperti DokeV, permainan ini juga diumumkan sempena acara G-Star 2019 yang berlangsung hari ini di Korea dan menurut mereka, ianya akan dilancarkan di konsol dan PC.

Berdasarkan video acah yang diperlihatkan, permainan ini kelihatan akan memfokuskan bentuk pakaian perisai luaran “Exo-suit” dengan pelbagai kelengkapan yang pemain boleh gunakan seperti pakaian yang berupaya untuk terbang dan beberapa senjata tambahan yang menarik.

Semestinya dengan visual yang beraksi dicampur dengan pelbagai pakaian Exosuit, sudah pasti membuatkan permainan ini kelihatan sangat menarik sekali. Video acah tersebut juga memaparkan pelbagai bentuk pertempuran yang bakal pemain tempuhi seperti bertempur dengan robot dan sebagainya.

Tambahan itu, menurut Seung-ki Lee iaitu penerbit permainan tersebut, mereka juga menyatakan bahawa permainan ini akan memfokuskan bentuk penembak yang beraksi dengan dunianya tersendiri. Mereka juga menyatakan bahawa permainan ini akan mempunyai bentuk dan genre tersendiri untuk permainan yang memfokuskan penembak.

Seperti biasa, kami akan mengemaskini sebarang informasi lanjut setelah ia diumumkan.

Leave a Reply